PIHAK pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada bintang filem Sylvester Stallone perlu dituduh berkaitan serangan seksual yang dilaporkan tahun lalu, kata seorang jurucakap pada Rabu.
“Satu kes dibentangkan hari ini oleh Jabatan Polis Santa Monica mengenai Sylvester Stallone,” kata Greg Risling, jurucakap di Pejabat Pendakwa Raya Los Angeles kepada AFP.
“Ia sedang dikaji oleh pasukan petugas jenayah seks kami.”
Kes itu melibatkan seorang wanita yang melaporkan November lalu pelakon berusia 71 tahun, yang paling terkenal dengan peranannya dalam filem “Rocky” dan “Rambo”, menyerangnya pada 1990.
Risling menolak untuk memberikan butiran lebih lanjut mengenai serangan yang dikatakan itu atau menjelaskan sama ada had undang-undang 10 tahun di California diguna pakai dalam kes itu.
Polis di Santa Monica dan peguam Stallone, Martin Singer, juga tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.
Tuduhan terhadap bintang itu datang selepas gerakan #MeToo yang memberi perhatian terhadap gangguan seksual di Hollywood dan lebih daripada itu.
Singer pada Disember memberitahu media AS ketika tuduhan pertama kali dibuat, anak guamnya membantah dakwaan itu dan jelas wanita berkenaan memfailkan laporan tersebut untuk memastikan saluran media menerbitkan cerita itu.
Dia mengaku Stallone mempunyai hubungan dengan wanita itu ketika penggambaran filem di Israel pada 1987.
Peguam berkata pada masa itu dia merancang mengemukakan dakwaan terhadap wanita tersebut kerana memfailkan laporan polis palsu.
Kempen #MeToo bermula tahun lepas berikutan dakwaan serangan seksual terhadap mogul Hollywood Harvey Weinstein. Ia menjadi fenomena di seluruh dunia.
Ratusan selebriti dan individu berkedudukan, termasuk pelakon Kevin Spacey dan wartawan penyiaran Charlie Rose, dituduh melakukan gangguan seksual berikutan skandal Weinstein. – AFP, 14 Jun, 2018.
Komen