Apple tingkat ciri keselamatan iPhone untuk halang akses tanpa izin


Syarikat pengeluar iPhone mempertingkatkan ciri keselamatan bagi menghalang sebarang cubaan mengaksesnya tanpa kebenaran dan menafikan ia bertujuan menghalang tugas penguatkuasa undang-undang. – Gambar EPA, 14 Jun, 2018.

APPLE semalam berkata ia menambah enkripsi pada iPhone bagi menghalang cubaan pihak polis mengakses telefon tanpa kebenaran.

Langkah Apple ini, yang terbaru dalam perselisihan berlarutan dengan penguatkuasa undang-undang, dibuat ketika laporan penggunaan semakin banyak alat yang dikenali sebagai GrayKey yang membolehkan polis memintas ciri keselamatan iPhone.

Apple berkata ciri baru ini bukan direka untuk menggagalkan penguatkuasaan undang-undang tetapi mencegah sebarang cubaan memintas ekripsi oleh pelbagai pihak.

“Di Apple, kami menjadikan pelanggan keutamaan bagi semua rekaan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Kami sentiasa memperkukuhkan perlindungan keselamatan dalam setiap produk Apple untuk membantu para pelanggan melindungi diri daripada penggodam, pencuri identiti dan pencerobohan data peribadi mereka. Kami sangat menghormati penguatkuasa undang-undang, dan kami tidak merekabentuk penambahbaikan keselamatan untuk menggagalkan usaha mereka dalam menjalankan tugas.”

Apple berkata ia berfungsi menghalang sebarang kemungkinan mengakses data dari GrayKey atau peralatan yang serupa.

Apple berkata ia mempunyai pasukan yang bertindak balas terhadap penguatkuasa undang-undang dan permintaan keselamatan negara 24 jam sehari.

Tetapi syarikat itu menjadi sasaran beberapa pihak dalam penguatkuasaan undang-undang kerana menolak usaha membolehkan akses mudah kepada iPhone.

Dua tahun lalu, Apple ke mahkamah bagi menghalang usaha FBI untuk memaksanya mengurangkan ekripsi iPhone dimiliki penembak di San Bernardino, California, tetapi pegawai menggugurkan kes itu selepas menemui alat untuk mengakses telefon itu. – AFP, 14 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen