120 negara di PBB kutuk Israel berhubung keganasan di Gaza


Duta Algeria ke Amerika Syarikat (tengah, atas) mendengar Duta Besar AS Nikki Haley (duduk di bawah) bercakap semasa undian mengutuk tindakan Israel di Gaza, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. – Gambar AFP, 14 Jun, 2018.

PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menerima sokonngan majoriti daripada 120 negara berhubung resolusi yang disokong negara Arab yang mengecam Israel berhubung kematian rakyat Palestin di Gaza dan menolak cubaan Amerika Syarikat (AS) menyalahkan Hamas dengan keganasan di sana.

Resolusi ini mengecam kuat penggunaan “kuasa berlebihan, tidak seimbang dan semberono” Israel terhadap penduduk Palestin dan menggesa langkah perlindungan bagi Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Sekurang-kurangnya 129 rakyat Palestin terbunuh ditembak Israel semasa protes berhampiran sempadan Gaza yang bermula pada akhir Mac. Tiada rakyat Israel yang terkorban.

Dibentangkan oleh Algeria dan Turki bagi pihak negara Arab dan Islam, langkah itu memenangi 120 undi daripada 193 negara anggota, dengan 8 undi menentang dan 45 berkecuali.

Duta Besar AS Nikki Haley menolak resolusi itu sebagai “sebelah pihak” dan menuduh negara Arab cuba meraih perhatian dengan mengutuk Israel di PBB.

“Bagi sesetengah pihak, menyerang Israel adalah bahan politik kegemaran mereka. Itulah sebabnya kita berada di sini hari ini,” kata Haley kepada perhimpunan itu.

Satu pindaan dibentangkan oleh AS yang mengutuk Hamas kerana “mengapi-apikan keganasan” di sepanjang sempadan dengan Gaza gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk diterima.

Negara-negara Arab yang menyokong langkah itu beralih kepada Perhimpunan Agung selepas AS menggunakan vetonya dalam Majlis Keselamatan untuk menyekat resolusi pada 1 Jun.

Tidak seperti Majlis Keselamatan, resolusi yang diterima dewan tidak terikat dan tiada kuasa veto. – AFP, 14 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen