Menteri ekonomi Itali batalkan mesyuarat di Paris susulan isu pendatang asing


Menteri Ekonomi Itali, Giovanni Tria membatalkan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Perancis di Paris pada Rabu susulan perbalahan diplomatik antara kedua-dua negara berhubung isu pendatang asing. – Gambar AFP, 13 Jun, 2018.

MENTERI Ekonomi Itali, Giovanni Tria membatalkan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Perancis di Paris pada Rabu susulan perbalahan diplomatik antara kedua-dua negara berhubung isu pendatang asing.

“Menteri #GiovanniTria membatalkan pertemuannya dengan Menteri Ekonomi dan Kewangan Perancis (Bruno) #LeMaire,” kata kementeriannya di Twitter.

Twit itu mengesahkan pertemuan Tria dengan Menteri Ekonomi Jerman Olaf Scholz yang dijadualkan pada Khamis akan berlangsung di Berlin.

“Perjalanan itu dibatalkan atas permintaan Itali dan kami merasa kesal,” kata Le Maire, sambil menambah dia mempunyai “banyak perkara penting untuk berbincang dengan Tria” menjelang sidang kemuncak EU pada akhir Jun.

“Kami berharap pertemuan ini dapat berlangsung dengan cepat,” katanya dalam satu kenyataan kementerian.

Keputusan Tria itu dikeluarkan selepas Rom menuntut permohonan maaf secara rasmi dari Perancis atas kenyataannya berhubung tindakan Itali ke atas kapal Aquarius yang ditinggalkan dalam keadaan tergantung di Mediterranean setelah menyelamatkan 629 orang dari Libya.

Presiden Perancis Emmanuel Macron menempelak Itali kerana “sinis dan tidak bertanggungjawab” dengan tidak membenarkan kapal tersebut yang membawa 629 pendatang berlabuh di pelabuhannya.

Menteri Dalam Negeri Matteo Salvini berkata Perdana Menteri Giuseppe Conte - yang akan bertemu Macron di Paris pada Jumaat - “tidak akan ke Perancis” sekiranya permintaan maaf itu tidak dibuat. – AFP, 13 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen