Piala Dunia 2026 dihoskan tiga negara Amerika Utara


Pusingan akhir kejohanan bolasepak Piala Dunia 2026 akan dihoskan bersama tiga negara Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, yang pertama bagi benua Amerika Utara sejak 1994. – Gambar AFP, 13 Jun, 2018.

PUSINGAN akhir kejohanan bolasepak Piala Dunia 2026 akan dihoskan bersama tiga negara Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, yang pertama bagi benua Amerika Utara sejak 1994, lapor media antarabangsa.

Tiga negara hos bersama itu berikrar akan menarik penyertaan penonton paling tinggi dalam sejarah penganjuran pusingan akhir Piala Dunia serta pulangan keuntungan yang pecah rekod dijangka mencecah AS$11 bilion bagi Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), lapor The New York Times.

Tiga negara Amerika Utara itu mengatasi bidaan pencabarnya Maghribi dengan undian 134-65.

Piala Dunia 2026 akan jadi yang pertama dihoskan tiga negara dalam sejarah penganjurannya sejak 1930.

Ia juga yang pertama melibatkan 48 pasukan, berbanding 32 negara sekarang.

Daripada 80 perlawanan, 10 akan diadakan di Kanada dan 10 di Mexico sementara baki 60 di Amerika Syarikat. Perlawanan akhirnya dijadual berlangsung di New Jersey.

Amerika Syarikat pernah menjadi tuan rumah pusingan akhir Piala Dunia pada 1994, manakala Mexico dua kali pada 1970 dan 1986, sementara ini adalah yang pertama bagi Kanada. – 13 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen