MENTERI Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini menggesa Perancis menerima lebih ramai lagi pendatang asing dan menuduh negara itu gagal memenuhi komitmennya.
Kerajaan populis baharu Itali- yang didorong Salvini telah mengambil pendirian tegas mengenai pendatang - diselar oleh negara-negara jirannya dalam Kesatuan Eropah (EU) apabila ia enggan membiarkan sebuah bot asing yang membawa 629 pendatang berlabuh di Itali.
Pendatang-pendatang asing berkenaan terperangkap di atas bot Aquarius yang dikendalikan oleh badan amal Perancis, SOS Mediterranee, selama lebih 30 jam kerana Itali dan Malta bertekak siapa yang harus mengambil mereka.
Sepanyol kemudian campur tangan dan menawarkan pelabuhan Valencia sebagai tempat mendarat di Eropah.
Presiden Perancis, Emmnuel Macron menyelar Itali kerana “tidak bertanggungjawab” manakala Gabriel Attal, jurucakap parti Macron menyifatkan tindakan Itali itu “memualkan”.
Dalam ucapannya kepada Senat, Salvini berkata Perancis hanya mengambil 640 daripada 9,816 pendatang yang dijanji akan diambilnya dari Itali.
Beliau menuntut Perancis jangan hanya berkata-kata tetapi sebaliknya bertindak dengan mengambil lebih ramai lagi pendatang.
Salvini juga berharap Perancis akan segera memohon maaf. – AFP, 13 Jun, 2018.
Komen