PEGUAM hak asasi manusia Iran, Nasrin Sotoudeh ditangkap pada Rabu, kata suaminya di Facebook.
“Beberapa jam yang lalu Nasrin ditahan di rumah dan dipindahkan ke Evin,” penjara terkenal di Tehran di mana ramai tahanan politik ditempatkan, kata Reza Khandan.
Sotoudeh, 55, salah seorang peguam hak asasi manusia yang lantang bersuara di Iran, baru-baru ini mewakili beberapa wanita yang ditangkap kerana memprotes menentang mandatori memakai hijab.
Polis Tehran berkata pada Februari, 29 wanita ditahan kerana keluar rumah tanpa memakai hijab.
Mesej Facebook Khandan itu bernada keras - beliau berkata: “Saya pernah memberitahu penyiasat di dalam bilik siasat: ‘Dalam banyak-banyak perkara yang perlu dilakukan pihak berkuasa untuk negara mereka, anda hanya tahu satu iaitu menangkap orang.’”
Sotoudeh memenangi anugerah hak asasi manusia Sakharov pada tahun 2012 untuk kerja-kerja beliau mengenai kes politik dan hak asasi manusia berprofil tinggi, termasuk juvana yang menghadapi hukuman mati di negara republik Islam itu.
Dia dihukum penjara selama tiga tahun antara 2010 dan 2013 kerana didakwa melakukan “tindakan terhadap keselamatan negara” dan menyebarkan “propaganda terhadap rejim” dan terus diharamkan daripada mewakili kes politik dan meninggalkan Iran sehingga tahun 2022.
Sotoudeh mempertahankan wartawan dan aktivis termasuk pemenang Nobel Keamanan Shirin Ebadi dan beberapa penentang yang ditangkap semasa demonstrasi besar-besaran pada 2009.
Semasa dia berada di penjara, dia mengadakan dua mogok lapar sebagai protes atas keadaan di Evin dan terhadap larangan daripada bertemu anak-anaknya.
Sotoudeh dibebaskan pada September 2013 sejurus sebelum presiden Iran yang baharu dilantik, Hassan Rouhani, yang telah berkempen atas janji untuk memperbaiki isu hak-hak sivil, menghadiri Perhimpunan Agung PBB. – AFP, 13 Jun, 2018.
Komen