SALAH seorang jaguh catur India menarik diri dari kejohanan yang akan diadakan di Iran sebagai tanda protes kepada undang-undang negara itu yang mewajibkan wanita memakai tudung.
Bekas juara dunia kategori perempuan, Soumya Swaminathan, berkata kod berpakaian di kejohanan Asian Nations Chess Cup yang akan diadakan pada bulan depan melanggar haknya.
“Saya dapati undang-undang wajib bertudung Iran melanggar hak asasi manusia saya, termasuk hak kebebasan bersuara dan berfikir, hati nurani serta hak beragama saya,” kata jaguh catur itu.
“Nampaknya, dalam keadaan ini, satu-satunya cara untuk melindungi hak saya ialah dengan tidak ke Iran,” tulis wanita berusia 29 tahun itu di Facebook.
Pada 2016, juara catur Amerika Syarikat (AS), Nazi Paikidze-Barnes memboikot kejohanan dunia di Teheran juga kerana enggan memakai tudung.
Tahun lalu, Persekutuan Catur Iran menyenaraihitamkan Dorsa Derakhshani kerana menghadiri pertandingan di luar negara tanpa memakai tudung.
Dorsa kini bermain untuk AS.
Sejak revolusi Islam 1979, Iran telah mewajibkan wanita memakai tudung di tempat awam.
Di bawah undang-undang Iran, wanita hanya boleh memperlihatkan muka, tangan dan kaki di khalayak ramai serta tidak boleh memakai pakaian berwarna terang. – AFP, 13 Jun, 2018.
Komen