PENGERUSI PKR Sarawak Baru Bian tidak akan memberi komen mengenai laporan yang beliau akan dilantik sebagai menteri kerja raya tetapi berkata kementerian yang penting dan relevan kepada Sarawak perlu diberikan kepada rakyat negeri itu.
Ahli Parlimen Selangau, yang mengatakan masih terlalu awal dan spekulatif untuk mengulas mengenai laporan The Malaysian Insight hari ini, juga berkata beliau tidak menerima apa-apa surat untuk pelantikan tersebut.
“Tetapi yang penting ialah Sarawak mendapatkan portfolio yang penting kepada negeri seperti kementerian kerja raya.”
Baru dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen antara nama yang disebut-sebut akan menyertai Kabinet Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Setakat ini, tiada pemimpin dari Sarawak atau Sabah yang dinamakan sebagai ahli Kabinet.
Chong, yang namanya tidak muncul dalam senarai Kabinet tersebut, turut enggan mengulas mengenai perkara itu.
Pengerusi DAP Sarawak itu berkata beliau tidak mahu mengulas mengenai “hak prerogatif perdana menteri” atau menjawab soalan-soalan bersifat andaian.
Beliau juga berkata tidak menerima apa-apa surat untuk lantikan menteri.
Sumber PKR Sarawak berkata Baru besar kemungkinan akan menerima portfolio kerja raya manakala Chong mungkin dilantik dalam Kementerian Hal Ehwal Negeri Sarawak.
“Sepertinya begitu,” kata sumber itu.
Dia bagaimanapun berkata keputusan itu boleh berubah selagi perdana menteri belum membuat pengumuman secara rasmi.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, James Masing ketika ditanya sama ada beliau boleh bekerjasama dengan Baru jika beliau (Baru) dilantik sebagai menteri kerja raya berkata: “Saya boleh bekerja dengan sesiapa yang berniat baik dan ikhlas dalam melakukan apa yang baik untuk rakyat.” – 13 Jun, 2018.
Komen