KEMENTERIAN Luar Itali berkata ia sudah memanggil duta Perancis pada Rabu di tengah-tengah berlakunya perbalahan diplomatik antara kedua negara berhubung pengendalian krisis pendatang.
Pada Selasa, Presiden Perancis Emmanuel Macron menuduh Itali “tidak bertanggungjawab” selepas kerajaan Rom enggan membuka pelabuhannya untuk kapal NGO Aquarius yang membawa ratusan pendatang berlabuh di Mediterranean.
Kerajaan populis baharu Itali itu cepat bertindak balas terhadap tuduhan tersebut dengan mengutuk “ajaran yang munafik” dari negara-negara seperti Perancis berhubung isu pendatang.
“Kenyataan dari Perancis mengenai (kapal kemanusiaan) Aquarius adalah amat mengejutkan ... Itali tidak boleh menerima ajaran hipokrit dari negara-negara yang lebih suka mencari jalan lain mengenai imigresen,” kata kerajaan Itali dalam kenyataan pada Selasa.
629 pendatang yang diselamatkan oleh Aquarius, yang dikendalikan oleh NGO Perancis SOS Mediterranee, terperangkap di atas kapal yang penuh sesak selama lebih 30 jam ketika Itali dan Malta bertelagah tentang siapa yang harus membawa masuk mereka (pendatang) sebelum Sepanyol menawarkan diri untuk menerima mereka di pelabuhan Valencia.
Duta Perancis Christian Masset dijangka menerima kunjungan Kementerian Luar Itali pada jam 0800 GMT, menurut sumber diplomatik. – AFP, 13 Jun, 2018.
Komen