.jpg)
PENGUMUMAN empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak semalam dengan rasminya melenyapkan gabungan BN di negeri itu.
Tatkala satu persatu pimpinan tertinggi Umno menerima secara terbuka langkah tersebut, ada suatu misi atau peluang yang masih belum berani diutarakan oleh mana-mana pemimpin Umno.
Pemimpin Umno yang berjiwa besar tidak seharusnya hanya menerima langkah tersebut secara terbuka tetapi harus berpandangan jauh untuk meneruskan kelangsungan Umno.
Pembubaran BN di Sarawak seharusnya dilihat sebagai satu peluang untuk Umno menembusi pasaran politik di Sarawak.
Setelah sekian lama hanya menumpukan segala kudrat dan perjuangan di tanah Semenanjung dan terbatas di Sabah, ini sepatutnya jadi waktu terbaik untuk Umno masuk ke Sarawak dan Sabah secara keseluruhannya.
Menurut Fasal 4.2 Perlembaagaan Umno, untuk melayakkan seseorang menjadi ahli Umno, mereka haruslah warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera, berusia 18 tahun ke atas.
Perkataan “atau” pada fasal tersebut seharusnya diambil peluang oleh Umno bagi membawa parti perjuangan orang Melayu dan Bumiputera ini masuk ke Sarawak.
Bukan setakat mampu menjadi saingan kepada parti utama Melayu di Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), bahkan “Umno Sarawak” juga bakal dapat menyaingi parti-parti Bumiputera Sarawak yang lain apabila kaum Bumiputera seperti Iban, Bidayuh, Melanau dan lain-lain dibenarkan menyertai parti.
Langkah Umno masuk ke Sarawak akan menjadikan Umno lebih terbuka namun masih dalam kerangka memperjuangkan bumiputera.
Umno juga seharusnya pantas mengambil peluang di Sabah apabila parti-parti BN di negeri itu bertindak keluar BN beramai-ramai dengan membuka seluas-luasnya parti kepada kaum-kaum Bumiputera Sabah.
Langkah-langkah ini sekaligus bakal menjadi Umno sebuah parti perjuangan bumiputera terbesar di Malaysia dengan memayungi semua kaum-kaum Bumiputera di tanah air ini, di bawah sebuah parti.
Penyertaan secara meluas kaum-kaum Bumiputera Sarawak dan Sabah ke dalam Umno bakal memungkinkan Malaysia untuk mempunyai seorang perdana menteri dari dua negeri Borneo ini.
Kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini juga masih terus memberi perhatian kepada bakal-bakal perdana menteri dari Semenanjung.
Seperti kita sedia maklum dari segi jumlah kerusi Parlimen, jumlah kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah adalah antara yang terbesar di Malaysia.
Keterbukaan untuk bahagian-bahagian Umno dalam memilih pemimpin tertinggi yang diamalkan Umno masa kini sudah pasti bakal menyaksikan seorang presiden Umno dari Borneo pada masa depan.
Undian dari setiap bahagian Umno di Borneo mampu melahirkan seorang presiden parti seterusnya perdana menteri pertama dari bumi Borneo.
Diharap pimpinan Umno yang bakal dipilih nanti dapat melihat peluang besar yang sedang dihidangkan kepada parti keramat Melayu dan Bumiputera ini. Umno! – Bernama, 13 Jun, 2018.
* Mohamad Isamuddin Mohamad Isa adalah ketua Pemuda Umno Cawangan Bulatan Kg Melayu Majidee merangkap calon AJK Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen