Disiplin Ramadan: Berkongsi nikmat bersama


APABILA masyarakat Islam berpuasa dalam bulan Ramadan, mereka digalakkan berrmaaf-maafan serta beramal dan bersedekah.

Tujuan berpuasa pada bulan Ramadan adalah untuk mendisiplinkan diri sendiri dan menumpukan pertumbuhan rohani dan bukannya hal-hal duniawi.

Pada masa yang sama, umat Islam digalakkan berbuat baik, terutamanya membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Inilah masa yang paling sesuai untuk kita merenung kembali apa yang berlaku di negara kita beberapa minggu yang lalu.

Kerajaan terdahulu ditolak kerana rakyat Malaysia tidak dapat menerima tahap rasuah yang menyebabkan kita berasa malu dan marah.

Bekas pemimpin terdahulu kini sedang disiasat kerana merampas kekayaan negara. Sikap tamak sesetengah manusia yang tidak mempunyai had jelas kelihatan melalui pendedahan tahap rasuah saban hari.

Ramai di antara kita tertanya-tanya mengapa dan bagaimana ini boleh berlaku.

Mengapa sesetengah orang tidak pernah berpuas hati dengan apa yang mereka ada?

Disiplin rohani yang diajar dalam bulan Ramadan termasuk menunjukkan empati dengan mereka yang menderita dan memahami orang-orang yang kurang bernasib baik.

Dengan cara yang sama, kita berharap bahawa mereka yang berkuasa sekarang, terutama yang berada di dalam kerajaan, tidak akan melupakan rakyat biasalah yang meletakkan mereka di sana.

Kita mesti sentiasa ingat dari mana kita datang, dan dengan cara itu, lebih mudah bagi kita untuk bersyukur atas berkat yang diberikan kepada kita, dan untuk berkongsi dengan mereka yang mengalami masa-masa sukar.

Sekiranya kekayaan yang dijarah dari negara ini dikongsi bersama dengan golongan miskin, bayangkan bagaimana rakyat dan pemimpin kita akan diberkati.

Kini adalah masanya untuk para pemimpin baru untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai rakyat, dan kebajikan rakyat selalu menjadi pertimbangan utama pemerintah.

Dalam kita bergerak dengan penuh harapan menuju ke era Malaysia Baru, saya ingin mengucapkan kepada semua khususnya rakan-rakan Muslim saya, selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir batin. – 13 Jun, 2018.

* Baru Bian adalah Adun N81 Ba’ Kelalan/ahli Parlimen P214 Selangau

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen