Rakyat Korea Selatan keluar mengundi pilihan raya tempatan


Kwon Yang-sook, isteri bekas presiden Korea Selatan, Roh Moo-hyun, membuang undi di sebuah pusat pengundian di Gimhae, Gyeongsang Selatan, Korea Selatan. – Gambar EPA, 13 Jun, 2018.

PENDUDUK Korea Selatan mula mengundi hari ini untuk pilihan raya tempatan dan pilihan raya kecil, yang dilihat sebagai pungutan suara terhadap pentadbiran Presiden Moon Jae-in, lapor agensi berita Yonhap.

Sebanyak 4,016 jawatan pentadbiran, perundangan dan pendidikan tempatan dipertandingkan, termasuk 17 jawatan datuk bandar dan gabenor wilayah.

Sementara pilihan raya kecil pula untuk mengisi kekosongan 12 kerusi Parlimen.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), pengundian bermula 6 pagi sehingga 6 petang di 14,134 pusat mengundi seluruh negara dan kali ini menyaksikan seramai 42.9 juta pengundi berdaftar.

Sehingga pukul 9 pagi, 7.7% pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada pilihan raya yang diadakan serentak buat kali pertama itu.

NEC berkata peratusan pengundi awal pula ialah sebanyak 20.14%, lebih tinggi berbanding 11.5% pada pilihan raya tempatan 2014 dan keadaan itu memberikan gambaran pengundian biasa akan mencatatkan jumlah pengundi melebihi 60%.

Parti pemerintah, Parti Demokratik (DP) diramal meraih kemenangan besar berdasarkan sokongan padu rakyat terhadap Moon berikutan usahanya berdamai dengan Korea Utara. – Bernama, 13 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen