PM Australia mohon maaf negara pada mangsa seks kanak-kanak


Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull akan secara rasmi menyampaikan permohonan maaf negara kepada mangsa penderaan seks kanak-kanak membabitkan pelbagai institusi di negara itu pada Oktober depan. – Gambar AFP, 13 Jun, 2018.

PERDANA Menteri Australia Malcolm Turnbull hari ini bersetuju untuk menyampaikan ucapan permohonan maaf kepada kanak-kanak mangsa penderaan seksual, mengiktiraf keberanian dan kesakitan mereka dalam mendedahkan betapa besarnya masalah itu.

Keputusan itu susulan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang diadakan selama lima tahun memperincikan ribuan kes penderaan membabitkan gereja, rumah anak yatim, kelab sukan, kumpulan belia dan sekolah di negara itu, selama berdekad lalu.

Dalam laporan akhirnya yang dikeluarkan pada Disember, RCI memberikan 409 syor, termasuk permohonan maaf rasmi.

“Mangsa terselamat yang saya temui memberikan saya sedikit gambaran tentang pengkhianatan yang anda alami di tangan individu dan institusi yang sepatutnya melindungi dan menjaga kamu,” kata Turnbull.

“Sekarang saya akan sampaikan permohonan maaf negara kepada semua yang terselamat, mangsa dan keluarga kes penderaan seksual kanak-kanak pada 22 Oktober di Canberra.”

Permohonan maaf itu kebetulan diadakan pada minggu kanak-kanak negara, di mana Turnbull berkata dipilih “untuk membawa bersama pengiktirafan masa lalu dan komitmen kami untuk kesejahteraan masa depan dan keselamatan kanak-kanak di Australia”.

Mengulas tentang keputusan RCI itu, Turnbull berkata kerajaan akan menubuhkan satu jabatan keselamatan kanak-kanak untuk membantu membangunkan strategi menghalang penderaan seksual kanak-kanak.

Antara syor penting lain ialah menyediakan skim untuk memberi sokongan kepada mangsa menerusi kaunseling, penjagaan psikologi dan kewangan.

Semua jabatan kerajaan Australia menyertai program itu yang berkuat kuasa pada 1 Julai dan akan menawarkan kepada mangsa pampasan sehingga AUD$150,000.

Mengambil satu langkah penting, gereja Katolik dan Anglican juga menyertai program itu bulan lalu, bersama Pengakap Australia, Salvation Army dan YMCA.

RCI itu mendapati institusi di Australia sangat gagal dalam penjagaan kanak-kanak dalam pengawasan mereka dengan 10,000 daripadanya diserang secara seksual.

Suruhanjaya itu mendengar keterangan yang sangat mengerikan ketika perbicaraan dengan lebih 15,000 mangsa memperincikan dakwaan mereka, dengan ada yang sudah berlaku sedekad lalu.

Lebih 4,000 institusi di negara itu didakwa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak. – AFP, 13 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen