Wabak Ebola di Congo belum tamat, kata WHO


Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata wabak Ebola menyebabkan 27 mangsa terbunuh di DR Congo dan ia yang kesembilan berlaku di negara itu, sejak 1976. – Gambar AFP, 13 Jun, 2018.

KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom berkata pemantauan lebih ketat perlu dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo), walaupun setakat ini tiada kes baru dilaporkan di negara itu.

Setakat ini, wabak itu menyebabkan 27 mangsa terbunuh di DR Congo dan ia yang kesembilan berlaku di negara itu, sejak 1976.

“Berdasarkan statistik, apa yang boleh kami katakan ialah situasi sudah kembali stabil tetapi ‘perang’ masih belum tamat, jadi kita perlu terus berjaga-jaga dan memantau keadaan.

“Satu lagi kes dilaporkan di kawasan bandar boleh mencetuskan kembali wabak,” katanya selepas menamatkan lawatan tiga hari ke DR Congo.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas WHO dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memulakan imunisasi terhadap pekerja barisan depan sejak 21 Mei lalu, menggunakan vaksin yang sebelum ini menunjukkan keberkesanan dalam sesi ujian awal.

Bagaimanapun, vaksin itu masih menunggu kelulusan pihak berkuasa.

Sementara itu, Adhanom berkata setakat ini lebih 2,000 individu di wilayah Equateur yang dilanda Ebola sudah menerima suntikan vaksin. – AFP, 13 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen