PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-un mempelawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkunjung ke Pyongyang pada pertemuan bersejarah mereka di Singapura, semalam.
Pada masa sama, media tempatan melaporkan Kim turut menyatakan kesediaannya untuk melawat AS.
“Kim Jong-un menjemput Trump untuk datang ke Pyongyang pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai, manakala Trump pula mempelawa Kim untuk melawat Amerika Syarikat.
“Kedua-dua pemimpin menerima jemputan itu dengan gembira, malah yakin ia bakal menjadi satu lagi peristiwa penting bagi memperbaiki lagi hubungan antara Korea Utara dan AS,” kata agensi berita KCNA.
KCNA turut melaporkan mesyuarat antara Kim dan Trump semalam, menandakan wujudnya perubahan radikal dalam hubungan antara kedua-dua negara terbabit.
Dalam laporan pertamanya mengenai sidang kemuncak itu, KCNA berkata hubungan suram itu berlanjutan untuk “tempoh yang dianggap paling lama di muka bumi”.
Bagaimanapun katanya, mesyuarat pertama antara pemimpin AS dan Korea Utara itu dapat membantu memperbaiki permusuhan antara Korea Utara dan Amerika Syarikat. – AFP, 13 Jun, 2018.
Komen