.jpg)
JAWATANKUASA Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan yang dihidupkan semua dengan nama baru, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) adalah satu langkah yang penting.
Salah satu keputusan pertamanya ialah menubuhkan Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) yang akan bertanggungjawab langsung kepada perdana menteri. GIACC juga mencakupi bidang hak asasi manusia.
Beberapa agensi yang sedia ada seperti Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN), Institut Integriti Malaysia, Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan diletakkan di bawah GIACC.
Tujuannya untuk mengurangkan pertindihan dan perbelanjaan awam apabila kerajaan meningkatkan usaha memerangi rasuah.
Sebuah Pelan Anti Rasuah Kebangsaan akan digubal. Semua kementerian diminta mengenal pasti tiga kelemahan berkaitan undang-undang, dasar dan prosedur sedia ada, yang perlu disemak semula untuk mengurangkan rasuah. Mereka diberi masa sebulan untuk menyerahkan cadangan kepada GIACC.
Kerajaan juga bercadang memperkenalkan undang-undang yang membenarkan hukuman keras terhadap pegawai yang sengaja mengakibatkan pembaziran dan ketirisan, atau boros dalam pengurusan dana awam. Menteri Kabinet sampai ke setiausaha politik, semuanya dilarang menerima hadiah daripada orang awam.
Satu lagi langkah penting ialah pengenalan undang-undang mengenai pembiayaan politik. Cadangan lebih terperinci mengenainya sudah ada, menjadikan lebih cepat untuk menyegerakan undang-undang yang sangat diperlukan itu.
Semasa mengumumkan beberapa inisiatif yang ditunggu-tunggu ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menekankan bahawa semua menteri perlu mengisytiharkan harta kepadanya dan menyerahkan laporan yang sama kepada agensi anti rasuah.
Ini bukan apa yang diperjuangkan oleh banyak pihak selama ini, sejak beberapa dekad yang lalu. Perisytiharan harta dan liabiliti menteri dan timbalan menteri di peringkat persekutuan, ahli majlis mesyuarat di peringkat negeri, termasuk perdana menteri dan menteri besar atau ketua menteri, mesti dibuat kepada umum.
Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor sudah melakukannya sejak berkuasa di dua negeri itu 10 tahun yang lalu. Tiga menteri dalam kabinet Dr Mahathir dari Parti Amanah Negara iaitu Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Dr Dzulkefly Ahmad sudah membuat perisytiharan berkanun yang memperincikan aset dan hutang mereka. Perisytiharan ini boleh diakses oleh orang ramai.
Pemimpin Amanah serta kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor harus dipuji kerana menunjukkan contoh yang baik.
Pemimpin politik dan pegawai awam kanan yang mengisytiharkan harta dan liabiliti mereka kepada umum adalah satu prinsip kebertanggungjawaban yang sudah mendapat momentum luar biasa sejak tiga atau empat dekad yang lalu.
Ia meningkatkan keyakinan rakyat kepada pemimpin. Ia tidak hanya memberikan rakyat biasa suatu gambaran yang jujur tentang kedudukan kewangan pemimpin mereka tetapi ia juga jadi peringatan kepada mereka yang mahu menggunakan kuasa untuk menumpuk kekayaan sehingga mengorbankan rakyat.
Setiap masyarakat membangunkan mekanisme yang berbeza untuk mendedahkan kedudukan kewangan pemimpin mereka kepada rakyat. Dalam kes kita, semua perisytiharan aset dan liabiliti di peringkat persekutuan dan negeri boleh diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan mengesahkan maklumat yang diperolehi sebelum memuatnya naik di laman web yang selamat yang boleh diakses oleh orang ramai. Pemimpin berkenaan disyaratkan oleh undang-undang untuk mengemas kini maklumat secara berkala.
Langkah yang tegas dan berani seperti ini penting dalam keadaan sekarang kerana apa yang dilalui oleh negara tidak berapa lama sebelum ini. Selepas pengkhianatan yang begitu luar biasa terhadap amanah rakyat, keyakinan terhadap elit hanya akan pulih dan kekal jika mereka menunjukkan keberanian moral untuk mengamalkan integriti dan bertanggungjawab.
Dalam nafas yang sama, raja-raja Berperlembagaan juga seharusnya berdasarkan kedudukan mereka membenarkan emolumen dan faedah istimewa dimaklumkan kepada umum melalui mekanisme yang wajar.
Dalam sistem kerajaan raja berperlembagaan yang tulen, tidak harus ada perselisihan pandangan tentang amalan ini. Malah, ia satu amalan yang akan menambahkan lagi kasih dan sayang rakyat kepada raja-raja.
Ada beberapa cadangan lain yang dikemukakan sejak beberapa tahun lalu oleh sebahagian daripada kita untuk mengukuhkan kebertanggungjawaban dan integriti. Cadangan-cadangan itu perlu dilontarkan semula sekarang dengan harapan mereka yang berada di tampuk kuasa akan memberikan maklum balas yang positif.
Menyekat ahli keluarga menteri atau ahli majlis mesyuarat daripada membida sebarang projek atau kontrak kerajaan; menghapuskan agen atau proksi dalam perolehan melibatkan kerajaan; memastikan tender terbuka diamalkan secara meluas kecual melibatkan pembelian aset pertahanan; dan menjadikan SPRM bertanggungjawab langsung kepada Parlimen adalah antara cadangan-cadangan tersebut. Semua cadangan ini sudah tentu akan mengukuhkan akauntabiliti dan kejujuran bangsa dan negara.
Bagi sebuah negara di Selatan yang pertama sekali menggubal undang-undang menentang rasuah dan mendirikan sebuah agensi khusus untuk membanterasnya, kita malangnya sudah terjunam ke dalam jurang yang hina.
Hanya kepimpinan dan rakyat yang digerakkan dengan semangat padu memerangi rasuah boleh mengeluarkan kita daripada lembah hina itu.
Inilah harapan rakyat Malaysia selepas menyingkirkan rejim sebelum ini yang bergelumang rasuah.
Adakah Pakatan Harapan akan memenuhi harapan itu? – 13 Jun, 2018.
* Dr Chandra Muzaffar menulis dan bersyarah menentang rasuah sejak awal 1970-an.
Komen