PIHAK berkuasa Jerman menarik balik kira-kira 73,000 biji telur dari Belanda dari pasar raya selepas telur-telur itu didapati tercemar dengan fipronil.
Kementerian pertanian di Lower Saxony berkata kumpulan telur yang tercemar itu datang dari sebuah ladang organik di Belanda, namun menegaskan ia tidak membahayakan kesihatan manusia.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, kementerian itu berkata jumlah fipronil yang dikesan melebihi had undang-undang yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah tetapi masih “jauh di bawah paras yang membahayakan kesihatan”.
Menurut kementerian, telur yang tercemar ditemui dalam satu ujian rutin di sebuah pusat pembungkusan di bandar Vechta di Lower Saxony. Ia juga berkata pihak berkuasa Belanda sudah dimaklumkan mengenai perkara ini.
Enam negeri di Jerman terjejas akibat penarikan ini.
Kejadian ini mengigatkan kembali skandal faksronil pada tahun lepas, di mana berjuta telur yang tercemar dengan racun perosak terpaksa dimusnahkan di 45 buah negara di seluruh dunia.
Telur-telur itu kebanyakannya datang dari ladang-ladang di Belanda dan Belgium. Penemuan itu mencetuskan bantahan antar kedua-dua negara dan negara jiran mengenai berapa lama pihak berkuasa mengetahui mengenai pencemaran itu sebelum ia mencetuskan kebimbangan.
EU telah mengharamkan fipronil yang digunakan untuk menghilangkan kutu dan hama pada haiwan dalam industri pemakanan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, fipronil apabila dimakan dalam jumlah yang besar akan merosakkan buah pinggang, hati dan kelenjar tiroid. – AFP, 12 Jun, 2018.
Komen