PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe hari ini mengalu-alukan perjanjian yang ditandatangani oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada sidang kemuncak yang julung kali diadakan, menyifatkannya sebagai “langkah pertama” terhadap penghapusan senjata nuklear.
Bercakap beberapa jam selepas Kim dan Trump mengadakan perbincangan bersejarah di Singapura, Abe juga berkata beliau gembira presiden AS itu membangkitkan isu penculikan rakyat Jepun di Pyongyang.
“Melalui sidang kemuncak AS-Korea Utara ini, hasrat Pengerusi Kim Jong Un terhadap penghapusan penuh senjata nuklear disahkan secara bertulis,” Abe memberitahu wartawan.
“Saya menyokong ini sebagai langkah pertama bagi menyelesaikan isu-isu melibatkan Korea Utara.”
Kim dan Trump menandatangani dokumen selepas mengadakan perbincangan di mana pemimpin Korea Utara itu mengesahkan komitmennya untuk “berusaha menghapuskan senjata nuklear di Semenanjung Korea”, tanpa memberikan butiran lanjut.
Dokumen itu tidak merujuk kepada keupayaan senjata lain, termasuk peluru berpandu yang Korea Utara lepaskan ke Jepun.
Dokumen itu turut merujuk kepada penghantaran pulang mayat banduan perang dan mereka yang terbunuh dalam konflik, namun tidak merujuk khusus kepada mereka yang diculik oleh Korea Utara.
Isu rakyat Jepun yang diculik pada 1970-an dan 1980-an bagi membantu Pyongyang melatih pengintipnya telah lama menjejaskan hubungan antara Tokyo dan Pyongyang. – AFP, 12 Jun, 2018.
Komen