Konflik dadah punca pembunuhan kejam di Yala


Ketua Polis Thailand Jen Chakthip Chaijinda mengarahkan penyiasat mempercepatkan siasatan tentang kejadian itu serta memberkas mereka yang bertanggungjawab di sebaliknya. – Gambar EPA, 12 Jun, 2018.

KEJADIAN lima lelaki yang dibunuh secara kejam di wilayah Yala, di selatan Thailand semalam dipercayai berpunca daripada konflik yang berlaku dalam peniagaan dadah tempatan, kata seorang pegawai kanan polis.

Beliau membuat dakwaan tersebut berasaskan hasil siasatan  awal yang lakukan terhadap kejadian  pada 1 pagi (waktu tempatan) itu.

“Kami  tidak menolak kemungkinan lain, tetapi siasatan kami menunjukkan mangsa terlibat  dengan dadah,” kata timbalan jurucakap Polis Diraja Thailand Kol Krissana Pattanacharoen di Bangkok sambil menjelaskan  bahawa siasatan sedang diteruskan untuk mengesan pembunuh terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Thailand Jen Chakthip Chaijinda mengarahkan penyiasat mempercepatkan siasatan tentang kejadian itu serta memberkas mereka yang bertanggungjawab di sebaliknya.

Dalam kejadian itu, lima mangsa yang sedang berehat di sebuah rumah di Mukim Tanah Putih, Banang Setar di Yala, diserang beberapa lelaki bersenjatakan shotgun dan M-16.

Media tempatan memetik penyiasat sebagai berkata kebanyakan mangsa ditikam di bahagian belakang serta mulut sebelum ditembak mati.

Pegawai Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah Empat Kol Tanawee Suwannarat berkata siasatan pihak tentera menunjukkan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan konflik di selatan Thailand.

Menurut beliau, pembunuh datang ke rumah itu dengan menaiki dua motosikal.

Pembunuhan lima lelaki di Yala semalam berlaku selepas satu lagi keganasan tercetus di selatan Thailand yang menyaksikan 14 terbunuh dalam tempoh 72 jam lepas, termasuk timbalan ketua Majlis Hal Ehwal Islam Pattani Adulej Chaknae.

Pemimpin Islam disegani ramai berusia 55 tahun itu ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumah seleaps  menunaikan  solat Jumaat. Mangsa  meninggal dunia dua hari kemudian.

Menurut Deep South Watch (DSW), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang membuat pemantauan, sejak 2004, konflik bersenjata di empat wilayah di selatan Thailand telah meragut lebih 7,000 nyawa, termasuk orang awam. – Bernama, 12 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen