Kim sahkan komitmen basmi sepenuhnya senjata nukear


Perkara itu serta petunjuk lain telah digariskan dalam kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Kim Jong-Un dan Presiden Amerika Syarikat Donald J Trump. – Gambar AFP, 12 Jun, 2018.

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un pada Selasa mengesahkan semula “komitmen beliau yang tegas dan utuh” bagi membasmi sepenuhnya penggunaan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Perkara itu serta petunjuk lain telah digariskan dalam kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Kim dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J Trump susulan pertemuan bersejarah mereka di Singapura. 

Pengamal media yang berkumpul di Pusat Media Antarabangsa berjaya merakam foto kenyataan bersama itu ketika Trump mengangkatnya dalam sesi bergambar selepas pertemuan tersebut.

Sementara itu, Trump dalam kenyataan tersebut menyatakan beliau komited untuk “memberikan jaminan keselamatan kepada Korea Utara.”

“Yakin bahawa kewujudan hubungan baharu AS-Korea Utara akan menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran Semenanjung Korea serta dunia, selain mengakui bahawa pembinaan keyakinan bersama boleh menggalakkan pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea, kedua-dua pemimpin dengan ini menyatakan seperti berikut:

-  Kedua-dua negara “komited untuk mewujudkan hubungan baharu AS-Korea Utara sesuai dengan hasrat rakyat kedua-dua negara untuk mencapai keamanan dan kemakmuran.”

-  AS-Korea Utara “akan bekerjasama dalam usaha membina rejim keamanan yang stabil dan berkekalan di Semenanjung Korea.”

- “Mengesahkah semula Deklarasi Panmunjom bertarikh 27 April 2018; Korea Utara komited untuk berusaha ke arah pembasmian sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea.

-  AS-Korea Utara komited untuk mendapatkan semula jasad tentera yang menjadi tawanan perang (POW) atau hilang ketika bertugas (MIA), termasuk penghantaran pulang jasad yang telah dikenal pasti.

Mengakui bahawa Sidang Kemuncak itu – yang pertama dalam sejarah – merupakan satu acara penting dan signifikan dalam mengatasi ketegangan dan permusuhan sejak berdekad antara kedua-dua negara ke arah masa depan baharu, Trump dan Kim turut memberi komitmen untuk melaksanakan ketetapan dalam kenyataan bersama itu “sepenuhnya dan dengan secepat mungkin”. 

Kedua-dua negara turut komited untuk mengadakan rundingan susulan, diketuai oleh Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dan pegawai tinggi Korea Utara yang relevan, “secepat mungkin untuk melaksanakan hasil Sidang Kemuncak itu.”

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin komited untuk bekerjasama ke arah pembangunan hubungan baharu serta mempromosi keamanan, kemakmuran dan keselamatan di Semenanjung Korea serta dunia. – Bernama, 12 Jun, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen