GPS hanya tukar nama, masih BN yang lama, kata DAP Sarawak


Tindakan empat parti Sarawak keluar Barisan Nasional dianggap DAP sebagai tiada prinsip perjuangan, sudah kalah baru melawan. Sedangkan rakyat tolak BN kerana korupsi mereka, bukan kerana nama. – Gambar Facebook, 12 Jun, 2018.

KEPUTUSAN empat parti yang membentuk kerajaan negeri Sarawak keluar Barisan Nasional (BN) tidak akan mengubah apa-apa kerana empat parti itu masih yang sama dengan sikap dan dasar serupa, kata pemimpin DAP negeri.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, apa yang berubah hanyalah nama daripada BN kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan perubahan itu tidak bermakna apa-apa, melainkan disusuli perubahan dasar yang jelas.

“Tidak kisah apapun nama yang hendak digelar oleh empat parti itu, mereka masih komponen parti BN Sarawak yang lama, yang mengamalkan dasar BN yang lama,” kata Chong dalam satu kenyataan di Kuching, hari ini.

Beliau mengulas keputusan sebulat suara Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar BN hari ini, selepas mengambil kira perkembangan politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-14 sebulan yang lalu.

Chong yang juga ahli Parlimen Stampin membayangkan tindakan empat parti itu seolah-oleh mengkhianati BN, yang sebelum ini mereka puja dan puji.

“Akan datang, kalau Umno lebih kuat, mereka akan sekali lagi ikut Umno,” katanya.

Beliau menyebut bagaimana empat parti itu hanya “kawan masa senang” dan bagaimana Ketua Menteri Sarawak Abang Johari dan menteri kabinetnya, Dr Sim Kui Hian yang juga Presiden SUPP, memuji Najib Razak sebagai perdana menteri Malaysia yang terbaik untuk Sarawak.

Malah katanya, Presiden PRS, James Jemut Masing pada 14 Mei lalu, selepas PRU14, berkata beliau akan “susah dan senang bersama BN”.

“Tetapi mereka sekarang semuanya keluar BN,” kata Chong.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii juga dari DAP berkata, keputusan empat parti itu hanya “salin baju” sedangkan dalamnya tetap rosak yang sama.

Dengan keputusan empat parti komponennya di Sarawak itu, BN kini tinggal 60 kerusi di Parlimen, dengan 54 daripadanya ialah Umno.

Dalam PRU14 yang lalu, BN menang 19 kerusi di Sarawak – dengan PBB menang 13 kerusi sementara PRS 3, PDP 2 dan SUPP 1. Pakatan Harapan menguasai baki 12 kerusi daripada keseluruhan 31 kerusi Parlimen negeri itu.

Menurut Yii, kalau pemimpin empat parti itu ada prinsip dan mahu menjarakkan diri daripada rasuah dan skandal, mereka sepatutnya sudah meninggalkan BN sebelum PRU14 dan bukannya selepas BN kalah.

“Adakah mereka akan buat yang sama kalau Najib Razak dan BN menang pilihan raya?” tanyanya, dan menambah itu saja menunjukkan langkah ini untuk kepentingan diri dan survival politik.

“Ini bukan untuk rakyat Sarawak.”

Beliau menjelaskan rakyat menolak BN bukan kerana namanya BN tetapi kerana ia mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Yii mengingatkan empat parti yang sama yang kini memakai nama baru itulah juga yang terlibat menghakis sumber tanah dan balak negeri Sarawak. – 12 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen