PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un pada Selasa menandatangani satu dokumen, yang disifatkan beliau sebagai bersejarah dengan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump di akhir “rundingan damai nuklear” yang berlangsung di Hotel Capella di Pulau Sentosa di Singapura.
“ ...tinggalkan masa lalu dan kita akan menandatangani satu dokumen bersejarah. Dunia bakal menyaksikan satu perubahan besar. Saya ingin melahirkan penghargaan kepada Presiden Trump kerana merealisasikan pertemuan ini. Terima kasih,” katanya menerusi penterjemah.
Majlis menandatangani dokumen itu disiarkan secara langsung oleh hos penyiar Mediacorp.
Sementara itu, Trump menyifatkan dokumen tersebut sebagai “amat komprehensif” dan kedua-dua pihak “akan kagum dengan hasilnya.”
Trump dijangka mengadakan sidang akhbar pada pukul 2.30 petang, dua jam lebih awal daripada yang ditetapkan sebelum ini.
Trump berkata keseluruhan proses adalah “hebat” dan “amat berbangga dengan apa yang berlaku hari ini.”
“Hubungan keseluruhan kami dengan Korea Utara dan Semenanjung Korea akan bertukar kepada situasi yang berbeza berbanding sebelum ini. Kami berdua ingin melakukan sesuatu dan kami berdua pasti akan melaksanakannya, kami telah menjalinkan satu ikatan yang amat istimewa, jadi orang akan berasa amat kagum dan gembira, dan kami akan menyelesaikan satu masalah yang amat besar serta berbahaya kepada dunia.
“Dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Kim.. kami telah menghabiskan banyak masa bersama hari ini, satu tempoh yang amat intensif, dan saya boleh katakan bahawa ia membuahkan hasil yang lebih baik dan melangkaui jangkaan.
“Saya rasa (hasilnya) jauh lebih baik - Saya telah melihat pelbagai laporan berita - Saya boleh katakan ia jauh lebih baik daripada apa yang dijangkakan oleh sesiapa pun. Dan ini akan membawa kepada hasil yang lebih banyak lagi dan ia merupakan satu penghormatan yang besar untuk berada di sini bersama-sama anda,” katanya panjang lebar.
Ditanya sama ada beliau akan menjemput Kim ke Rumah Putih, Trump menjawab “Sudah tentu saya akan berbuat demikian.”
Trump turut menyifatkan Kim sebagai seorang yang memiliki personaliti hebat, dan amat pintar.
“Sememangnya satu gabungan yang baik,” katanya.
Menjawab satu soalan, Trump berkata : “Beliau adalah seorang yang layak dibawa berunding bagi pihak rakyatnya. Beliau amat layak dan seorang perunding yang amat pintar. Memang begitulah sepatutnya. Kami telah melalui hari yang amat menarik. Dan kami juga telah banyak belajar mengenai diri masing-masing.”
Mengulas apa yang dipelajari mengenai Kim, Trump berkata pemimpin Korea Utara itu “seorang yang amat berbakat dan begitu sayangkan negaranya.”
Kepada soalan lain, Trump berkata beliau dan Kim “akan bertemu lagi.” – Bernama, 12 Jun, 2018.
Komen