ADAKAH Korea Utara akan bersama menyertai sistem ekonomi global dan menikmati kesejahteraan dunia serta pada masa sama, menghentikan sepenuhnya program nuklear negara itu?
Jawapannya akan diperoleh hari ini di Hotel Capella di Pulau Sentosa apabila pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald J Trump buat pertama kalinya untuk dialog damai nuklear.
”Saya menjangka perjumpaan ini akan sangat berjaya,” kata Kim ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri tuan rumah Lee Hsien Loong, beberapa jam selepas tiba di Singapura, Ahad lepas.
Kim, 34, dinamakan sebagai Orang Paling Berkuasa ke-46 Dunia oleh Forbes pada 2013.
Menerusi pentadbirannya, Korea Utara terus mengembangkan senjata nuklear walaupun setelah beberapa siri sekatan dikenakan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Pada Disember 2015, Kim dilaporkan berkata keluarganya “menjadikan negara itu sebagai sebuah negara berkuasa nuklear yang kuat dan bersedia meletupkan bom Atom dan Hidrogen untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negaranya”.
Pegawai Korea Selatan Chung Eui-Yong pula pada Mac 2018 dilaporkan mengumumkan Kim komited untuk menyahkan senjata nuklear dan Korea Utara akan mengelak daripada melakukan sebarang ujian nuklear atau peluru berpandu.
Tahun lepas saja, antara Februari hingga November, Kim yang dikenali sebagai Lelaki Roket, melancarkan 23 peluru berpandu menerusi 16 ujian nuklear.
Enam bulan kemudian, Korea Utara dilaporkan memusnahkan sekurang-kurangnya tiga terowong nuklear, bangunan pemerhatian, tapak kilang logam dan kuarters di tapak ujian nuklear Punggye-ri.
Trump dan Kim dijangka akan bertemu empat mata selama 45 minit, menurut laporan berita yang memetik jadual rasmi dikeluarkan oleh White House, pada Isnin.
Trump dijangka tiba di Hotel Capella kira-kira 8.20 pagi dan akan menyambut Kim sekitar 9 pagi.
Selepas pertemuan tersebut, yang hanya disertai penterjemah, kedua-dua pemimpin dan pegawai kanan mereka akan mengadakan mesyuarat dua hala selama 90 minit.
Mereka dilaporkan akan makan tengah hari bersama pada 11.30 pagi.
Trump yang tiba di Singapura lima jam selepas Kim pada Ahad, akan bertemu dengan media antarabangsa pada sidang media di Sentosa, sekitar 4 petang.
”Semua urusan akan berjalan dengan lancar,” kata Trump kepada Lee dalam pertemuan dua hala mereka pada sidang kemuncak menyahkan senjata nuklear bersama Kim.
Kira-kira 2,500 wartawan dari seluruh dunia berkumpul di Singapura untuk sidang kemuncak bersejarah yang bakal membawa keamanan ke Semenanjung Korea itu. – Bernama, 12 Jun, 2018.
Komen