DONALD Trump dan Kim Jong Un akan mengadakan pertemuan bersejarah hari ini dalam sidang kemuncak pertemuan pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara yang pertama.
Sidang kemuncak luar biasa itu diadakan selepas dua negara bermusuhan itu berkonflik sejak leat tahun lalu sehingga masing-masing berbalas hinaan peribadi dan Kim melakukan ujian nuklear dan peluru berpandu.
Dalam beberapa status di Twitter awal pagi ini waktu tempatan Singapura, Trump membayangkan bahawa persediaan sidang kemuncak itu berjalan lancar dan cepat.
“Tidak lama lagi kita akan tahu sama ada rundingan akan benar-benar terlaksana, tidak seperti sebelum ini,” katanya di Twitter.
Melihat kepada pembebasan tiga tebusan rakyat Amerika baru-baru ini dan janji Pyongyang untuk mengadakan ujian nuklear dan peluru berpandu, Trump menyelar mereka yang sebelum ini berkata tindakan presiden AS itu sebagai salah.
Ramai yang tidak sangka pertemuan secara bersemuka antara dua pemimpin itu dapat diadakan selepas Trump menggesa masyarakat dunia mengenakan tekanan terhadap Pyongyang jika negara itu terus mengancam AS.
Kim pula menggelar Trump “orang gila” dan berkata akan “menjinakkannya” dengan “api”.
Kini semuanya tinggal kenangan apabila hari ini, Singapura menjadi saksi pertemuan dua pemimpin yang dijangka berjalan ke arah satu sama lain dan duduk berbincang dalam mesyuarat setengah hari sambil keputusannya nanti ditunggu oleh seluruh dunia.
Ia pertemuan bersejarah untuk mereka – mungkin sama seperti lawatan presiden Richard Nixon ke China pada 1972 atau sidang mesyuarat Ronald Reagan dan Mikhail Gorbachev di Reykjavik pada 1986. – 12 Jun, 2018.
Komen