Ku Li tunggu petunjuk Allah bertanding presiden Umno


Radzi Razak

TENGKU Razaleigh Hamzah menunggu petunjuk Allah sebelum membuat keputusan bertanding jawatan presiden Umno selepas mendapatkan desakan banyak pihak termasuk ahli akar umbi yang mahukan beliau memimpin perubahan parti itu selepas kalah pilihan raya umum yang lalu.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, beliau maklum dengan sokongan yang diberikan kepadanya untuk bertanding namun terpaksa mengambil kira juga keadaan kesihatan dirinya.

“Saya dah terima pandangan daripada keluarga, tapi saya tidak akan umum (keputusan bertanding atau tidak) malam ini.

“Saya fikir daripada segi umur, tetapi soalnya, adakah saya terdaya atau tidak terdaya untuk pergi ke 190 kawasan dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, saya akan lakukan solat istikharah untuk memikirkan tawaran ini,” katanya pada program wacana Dilema Melayu Pasca PRU14 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada majlis yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru itu – bangunan yang mempunyai sejarah dekat dengan Umno dan perjuangan Melayu, Tengku Razaleigh menyampaikan pidato selama 15 minit sebelum menjawab soalan daripada hadirin.

Kesemua tujuh hadirin yang bertanyakan soalan mengusulkan kepada ahli Parlimen Gua Musang itu bahawa inilah masanya untuk beliau memimpin Umno dan menunjukkan jalan kepada parti itu untuk bangkit semula selepas terpukul dalam PRU14.

Antara cadangan yang diutarakan kepadanya ialah kepimpinannya sebagai veteran parti amat diperlukan untuk digandingkan dengan idea daripada generasi baru.

“Yang mengemukakan soalan tadi berkenaan gandingan orang lama dan baru… cadangan bagus, tetapi yang nak menentukan ialah perwakilan.

“Saya fikir lebih baik kita tapis setiap orang yang tampil agar tak separuh jalan kita menyesal.

“Itu satu perkara yang jadi kebimbangan kepada saya. Itu baik, supaya kita boleh bergerak ke depan,” katanya.

Dalam pidato selama 15 minit itu, Tengku Razaleigh yang lebih dipanggil Ku Li sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa kekalahan besar Umno dalam PRU14 adalah satu pengalaman yang menginsafkan bagi parti itu.

Katanya, ini satu peluang untuk Umno berubah dan memilih kepimpinan lebih muda.

Beliau juga menekankan tentang pentingnya Umno bersatu padu sepertimana ia pernah bersatu padu pada dekad awal penubuhannya dulu, termasuk ketika negara berdepan dengan ancaman komunis.

“Mungkin kita kalah PRU lepas kerana perpaduan itu tak sehebat masa kita mengatasi musuh negara pada 1960-an dulu.

“Mungkin juga kita lalai sebab tanggungjawab kepada rakyat tidak ditunaikan sepenuhnya.

“Pembangkang tak boleh dapat kuasa kalau tuhan tak mengizinkan. Barangkali benar, Tuhan hendak menginsafkan kita kerana kita terlalu lama berkuasa,” katanya.

Setakat ini, hanya Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri bertanding jawatan presiden sementara seorang lagi naib presiden, Hishammuddin Hussein memutuskan tidak bertanding sebarang jawatan.

Bagi jawatan timbalan presiden, setakat ini ada dua calon yang menawarkan diri iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan dan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.

Persaingan bagi tiga kerusi naib presiden setakat ini diintai sekurang-kurangnya lapan calon. Mereka ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin; bekas menteri besar Perak Dr Zambry Abdul Kadir; bekas menteri besar Johor Mohamed Khaled Nordin dan bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani.

Empat calon lain ialah ahli-ahli Majlis Tertinggi, Tajuddin Abdul Rahman, Mahadzir Khalid, Shahidan Kassim dan Ismail Sabri Yaakob.

Pencalonan bagi pemilihan sejak 2013 ini akan ditutup pada 17 Jun sebelum ahli akar umbi Umno memilih ahli Majlis Tertinggi dan pemimpin bahagian serentak pada 30 Jun ini. – 12 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sesiapa sahaja yang tercalon dlm pencalonan Presiden UMNO perlulah di kalangan mereka yang mampu mengembalikan semula era kegemilangan UMNO dan seorang berkomited,mempunyai komitmen yg tinggi,bertanggungjawab dah bertangding bkn utk kepentingan diri sendiri ttp utk kepentingan parti itu sendiri.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Ada kah Tengku Razaleigh menunggu petunjuk Allah sebelum menyokong bulat bulat kleptokrat yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan Amerika? Lebih baik jika Ku Li atau mana mana pihak pun tidak melibatkan Allah dalam politik UMNO.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan