SEKURANG-kurangnya 12 orang maut manakala 31 lagi cedera apabila pengebom bunuh diri meletupkan diri di tengah-tengah kumpulan pekerja kementerian kerajaan di Kabul yang pulang awal sempena Ramadan ketika mereka menunggu bas untuk puang, kata pihak berkuasa.
Kumpulan IS mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan di ibu negara Afghanistan itu, yang berlaku sehari sebelum gencatan senjata dengan Taiban dijangka bermula.
Letupan itu berlaku di pintu pagar utama Kementerian Pembangunan dan Pemulihan Luar Bandar, kata jurucakap polis dan kesihatan kepada AFP.
“Pekerja berkumpul di pintu masuk bangunan berkenaan untuk menunggu bas apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan diri di tengah-tengah kumpulan terbabit,” kata jurucakap kementerian Faridoon Azhand, yang berada dalam bangunan itu ketika kejadian.
“Saya berada dalam pejabat apabila mendengar bunyi letupan kuat,” kata salah seorang pekerja kepada AFP.
“Kebanyakan rakan sekerja henda pulang. Saya bimbang tentang rakan-rakan saya. Kami diarahkan untuk berada dalam bangunan setakat ini.”
Jurucakap polis Hashmat Stanikzai mengesahkan penyerang mensasarkan pekerja ketika mereka menunggu bas sekitar jam 1 petang. Mereka pulang awal sempena bulan Ramadan. – AFP, 11 Jun, 2018.
Komen