Gobind mahu laporan kebocoran data


Low Han Shaun

HASIL siasatan berhubung kebocoran data membabitkan rangkaian TV Satelit Astro dan Kementerian Pendidikan akan didedahkan kepada umum, kata Menteri Komunikasi dan Mutimedia Gobind Singh Deo. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah diarahkan untuk menyiasat kebocoran itu dan memberikan laporan kepada beliau dalam tempoh seminggu. 

“Saya telah arahkan SKMM menyiasat dan hasil siasatan dan tindakan akan didedahkan kepada umum,” kata Gobind yang juga ahli Parlimen Puchong. 

Minggu lalu, data pelanggan Astro bocor dalam talian membabitkan pelanggan Televisyen Internet Protokol yang dikendalikan Maxis. 

Turut dilaporkan kebocoran data terbaharu membabitkan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah Kementerian Pendidikan yang mendedahkan data lebih 10 juta rakyat Malaysia.

“Kebocoran data adalah masalah yang serius yang saya tidak mahu pandang ringan. 

“Saya mahu SKMM berikan kepada saya laporan dan langkah yang diambil untuk mengelakkan perkara ini berulang,” katanya di Cyberjaya hari ini. 

Tambahnya, kementeriannya turut memantau kebocoran data lain. – 11 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen