.jpg)
SEBULAN sudah berlalu, tetapi masih ada dakwat kekal seakan inai lusuh di jari. Bagi sebilangan rakyat Malaysia, inilah tanda peringatan kejayaan - satu cenderahati revolusi yang dimenangi di kotak undi. Tetapi bagi sebilangan lagi, ini merupakan daki yang tidak mahu hilang - peringatan kekalahan dan penolakan legasi yang terbina selama 60 tahun.
Pasca 9 Mei 2018, kelihatan Umno-BN tercari-cari talian hayat untuk bertaut. Pada mulanya kita melihat konflik dalaman Umno seakan akan bakal memecahkan parti ke arah haluan bertentangan. Ketua Pemuda, konco-konco dan proksinya mula menyuarakan tentang “reformasi” dan perubahan. Mereka muncul di media, dengan raut wajah sugul meluahkan perasaan tentang “kesilapan” dan kekesalan. Mereka bercerita tentang memperkasakan kembali semangat kepelbagaian kaum di dalam Barisan Nasional. Mereka menulis artikel tentang keperluan untuk perubahan drastik di dalam Umno.
Tetapi semakin hari, semakin jelas bahawa golongan “reformis” ini tidak mempunyai sokongan kuat di kalangan kumpulan berpengaruh di dalam Umno - “warlords” yang memegang kunci sokongan (dan kewangan) di cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi.
Kini, semakin ramai pemimpin kanan dan calon-calon kepimpinan tertinggi Umno mula selesa dengan jalan cerita yang kekalahan Umno-BN adalah kerana masalah persepsi, berita palsu, masalah kos sara hidup yang tidak dijelaskan dengan baik dan jenama Najib Razak. Dalam erti kata lain, masalah Umno-BN bukanlah masalah perjuangan, jiwa dan jasad tetapi hanyalah masalah kosmetik. Perubahan naratif ini kita lihat di dalam calon-calon yang bakal bertanding untuk masa depan Umno.
Ketua Pemuda - “ikon” reformis di dalam Umno - hanya mampu bertanding jawatan naib presiden walaupun ramai pahlawan kekunci menyerunya bertanding Presiden. Anak didiknya cuma berani bertanding Naib Ketua Pemuda - satu peningkatan sebenarnya dari tidak pernah bertanding. Tetapi ura-ura di akar umbi melihat kemungkinan tiada satu pun reformis menang nanti. Sebaliknya nama-nama seperti Tajuddin Rahman, Ismail Sabri, Mahdzir Khalid di peringkat “orang tua” dan Asyraf Wajdi menang di peringkat Pemuda.
Walau apa pun keputusan di peringkat bawah, yang paling jelas adalah calon-calon utama jawatan presiden tidak akan mengubah pengisian Umno secara menyeluruh. Kedua-dua Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh (yang masih belum sahkan bertanding) percaya bahawa masalah Umno-BN bukan isu eksistensialisme tetapi hanyalah masalah persepsi dan imej. Tetapi apakah yang menjadi tiang sokongan untuk kepercayaan dan keyakinan ini?
Acapkali kita mendengar bahawa Barisan Nasional merupakan parti tunggal terkuat kerana berjaya mendapat 79 kerusi. Malah, penyokong Umno-BN selalu mengingatkan bahawa hanya 45% dari keseluruhan pengundi memilih Pakatan Harapan (berbanding sokongan 53% untuk Pakatan Rakyat pada PRU-13) dan Barisan Nasional berjaya mendapat 33.8% dari undi popular. Umno pula memegang 54 kerusi parlimen dan 21% dari undi popular - menjadikannya parti paling popular dalam PRU-14. Kalau diikutkan hipotesis pemikir Umno (kalau wujudlah), ini membuktikan bahawa Umno - jika diperkasakan dan diperkuatkan (bukan diubah) - boleh memenangi semula pengundi Melayu yang bakal menjadi kumpulan pengundi yang lebih besar pada PRU-15 dan seterusnya.
Tetapi sama ada mereka sengaja tidak mahu menerima realiti atau terlepas pandang, tetapi mantra “parti paling banyak kerusi, paling banyak undi popular” tidak mengambil kira faktor-faktor sokongan terhadap Barisan Nasional dan Umno dan juga realiti apabila Umno-BN tidak lagi memegang kerajaan pusat.
Umno-BN memenangi 79 kerusi Parlimen dan 33.8% undi popular walaupun bertanding dalam proses pilihanraya yang dilihat sebagai berat sebelah. Tindakan persempadanan semula, pengundian pada hari Rabu, dan kawalan media arus perdana untuk memainkan propaganda Barisan Nasional tanpa henti kesemuanya berpihak kepada Barisan Nasional.
Harus juga diingat “kemenangan populariti” Umno-BN yang dicanang ini diperoleh dengan sumber kewangan, aset dan tenaga kerja yang berlipat ganda lebih dari Pakatan Harapan. Sebagai contoh, 17,000 lantikan politik yang dibayar oleh Kerajaan - seperti Tun Faisal dan JASA - memberikan hasil “kemenangan dalam kekalahan” yang dibanggakan ini. Ini tidak lagi termasuk penggunaan projek-projek dari Kerajaan pusat sebagai sogokan untuk mendapatkan undi.
Akhir sekali (dan ini paling penting), berapa ramai pengundi Umno-BN yang mengundi kerana mereka tidak pernah mengenali Kerajaan selain yang dipimpin UMNO-BN? Masih ramai yang mengaitkan BN sebagai Kerajaan dan Kerajaan sebagai BN. Pada mereka, kedua-dua ini satu dan sama. Adakah golongan ini akan terus mengundi Umno-BN, atau mereka akan mengundi secara selamat dan memilih Kerajaan semasa (yakni Pakatan Harapan) pada PRU akan datang?
Kalau SPR bersikap adil, jika tiada persempadanan semula, jika undi dibuat pada hujung minggu, jika tiada masalah pendaftaran pada hari pencalonan, jika semua undi awal dan pos bebas dan telus, jika media cetak, televisyen dan radio bebas melaporkan masalah-masalah seperti 1MDB - berapa peratus undi popular yang boleh dimenangi oleh Umno-BN?
Adakah sistem cawangan dan akar umbi Umno-BN terus berkesan tanpa bantuan kewangan dari pemerintahan pusat? Apabila projek mula kering, apabila majlis UMNO-BN berubah dari majlis zumba ke majlis kutipan tabung, adakah masih ada yang akan menyokong Umno-BN? Tanpa lantikan politik di peringkat Kerajaan Pusat dan Negeri, adakah jentera pilihanraya Umno-BN akan terus berfungsi?
Kita tak perlu tengok 5 tahun ke hadapan untuk melihat bakal nasib Umno-BN tanpa kuasa kawalan institusi, tanpa kawalan kewangan Kerajaan Pusat, tanpa sokongan berat sebelah media massa. Sekarang ini, parti-parti BN di Sarawak bersedia untuk menarik diri dari terikat dengan Barisan Nasional. Desas-desus menyatakan Umno di Sabah juga bakal tumbang dengan kewujudan parti kenegerian baru.
Sebelum memberi penawar kepada penyakit, diagnosisnya kena tepat. Diagnosis menyatakan Umno-BN masih kuat dan popular tidak mengambil kira kelebihan berat sebelah yang dinyatakan di atas. Tanpa kelebihan-kelebihan ini, berapa rasanya sokongan sebenar terhadap Umno-BN? Sudah tentu jauh lebih sikit dari 79 kerusi Parlimen dan 33.8% undi popular!
Jadi penawar apakah yang boleh diberikan Umno-BN dalam 5 tahun ini? Kalau diikutkan perkembangan semasa, mereka hanya boleh katakan, “Najib Razak sudah tiada”. Adakah ini cukup untuk menang pada PRU-15 - lebih-lebih lagi jika SPR bersifat telus, jika media massa bebas, jika pihak SPRM mengambil serius isu politik wang? Ini belum lagi mengambil kira keberangkalian Pakatan Harapan melaksanakan tugas dengan baik (atau tidak membunuh diri sendiri dengan langkah-langkah politik dangkal).
Di sinilah wujudnya krisis eksistensialisme Umno. Mereka kuat di atas kertas, tanpa menyedari kekuatan itu berpaksikan pada kuasa. Tanpa kuasa, hilanglah kekuatan itu. Penyokong Umno boleh dibahagikan kepada beberapa kelompok:
1. Mereka yang masih percaya kepada ideologi dan perjuangan Umno untuk bangsa Melayu;
2. Mereka yang berkepentingan untuk memastikan UMNO kekal berkuasa; dan
3. Mereka yang sokong Umno kerana tidak mengenali parti lain (faktor nostalgia dan sejarah)
Masalah jika Umno tidak berubah secara holistik ialah golongan pertama semakin pupus (faktor demografi dan keterbukaan maklumat akan mengurangkan sokongan kepada ideologi ini), manakala golongan kedua dan ketiga akan lari mengikut pemegang kuasa (langkah Dr. Mahathir mewujudkan Parti Pribumi satu langkah strategik untuk mengambil kesempatan faktor ini). Lompatan Adun di Perak dan Sabah antara contoh terawal fenomena ini.
Tetapi jika Umno cuba berubah pula - katakan membuka keahlian kepada bukan Bumiputera - apakah identiti dan DNA Umno? Jika mereka serupa seperti PKR dan DAP, kenapa pula pengundi perlu memilih Umno? Apakah kelebihan yang unik untuk Umno Baru ini? Tanpa elemen perkauman, mampukah Umno kekal relevan?
Inilah persoalan yang seharusnya diperbincangkan oleh kesemua kepimpinan Umno. Mereka harus menilai dahulu kekuatan sekarang dengan mengetepikan ilusi dan menerima realiti. Pemikir bijak pandai dari universiti-universiti terkemuka dalam Umno sudah tentu lebih fasih dalam membaca peta politik pasca PRU-14 ini. Jika Umno tidak mampu menjawab persoalan krisis eksistensialis Umno, maka menjelang PRU-15, mereka bukan sahaja akan kehilangan lebih banyak kerusi, tetapi juga mungkin lenyap terus. Harus diingat, ungkapan keramat ialah “Tak kan Melayu hilang di dunia” dan bukannya “Tak kan Umno hilang di dunia”. – 11 Jun, 2018
*Jimie Cheng merupakan pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen