Liew Chin Tong cabar keputusan Ayer Hitam


Pertandingan antara Liew dan Wee Ka Siong di kerusi Parlimen Ayer Hitam disifatkan sebagai pertembungan sengit.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2018

LIEW Chin Tong akan memfailkan petisyen mencabar keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Ayer Hitam yang ditandinginya dalam pilihan raya umum yang lalu.

Petisyen pilihan raya itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Johor tengahari esok, mengikut sebuah notis kepada media yang dikirimkan oleh DAP.

Dalam pilihan raya pada 9 Mei lepas, Liew kalah kepada timbalan presiden MCA, Wee Ka Siong dengan majoriti tipis 303 undi.

Liew dijadual mengadakan satu sidang media selepas petisyen itu difailkan esok.

Pertandingan antara Liew dan Wee di kerusi Parlimen Ayer Hitam disifatkan sebagai pertembungan sengit dan tumpuan utama dalam PRU14 kerana melibatkan pemimpin kanan parti masing-masing.

Liew, pegawai strategi DAP, malah menyifatkan pencalonannya di Ayer Hitam sebagai usaha membuka jalan untuk Pakatan Harapan ke Putrajaya.

“Kalau saya tidak menang di Ayer Hitam, saya harap saya dapat membantu mencetuskan gelombang untuk Pakatan Harapan menang,” katanya, dalam satu wawancara sebelum PRU14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggazetkan keputusan PRU14 pada 28 Mei lepas, dan calon yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya boleh mengemukakan petisyen di mahkamah sebelum 18 Jun ini.

Setakat ini, sekurang-kurangnya dua calon sudah mengemukakan tindakan mahkamah mencabar keputusan pilihan raya umum yang lalu.

Calon DAP bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran memfailkan petisyen mendakwa calon Barisan Nasional yang menang, C Sivaraajh dari MIC merasuah dan mengugut pengundi.

Calon PKR bagi kerusi negeri Rantau di Negeri Sembilan, Dr S Streram juga dilaporkan sudah memfailkan petisyen memohon deklarasi kemenangan tanpa bertanding bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan sebagai tidak sah.

Streram disekat oleh anggota polis daripada memasuki pusat penamaan calon pada 28 April lalu atas alasan tidak mempunyai pas calon yang dikeluarkan oleh SPR. – 11 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen