SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Ahad meluahkan “kebimbangan mendalam” berhubung serangan udara di Idlib, Syria baru-baru ini yang telah meragut nyawa berpuluh-puluh orang awam, lapor agensi berita China Xinhua.
Dilaporkan bahawa berpuluh-puluh orang awam, termasuk kanak-kanak, terkorban dalam serangan udara pada malam 7 Jun itu yang menyasarkan Kampung Zardana di utara Idlib.
“Setiausaha agung menggesa agar satu siasatan penuh dijalankan berhubung serangan itu, terutama dakwaan bahawa terdapat serangan kedua yang menyasarkan anggota misi bantuan pertama yang tiba di lokasi kejadian, untuk mewujudkan akauntabiliti,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan.
Pemimpin PBB itu turut mengulas nasib tidak menentu yang menimpa kira-kira 2.3 juta orang di Idlib, 60 peratus daripada mereka adalah orang awam yang tersingkir akibat konflik di kawasan lain, terbaharu dari Ghouta Timur.
“Beliau menyeru agar keganasan segera dihentikan dan menggesa semua pihak berkepentingan menghormati kewajipan masing-masing di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk perlindungan orang awam dan infrastruktur am.” – Bernama, 11 Jun, 2018.
Komen