Jutawan barang kemas cuba cari suaka di Britain


Jutawan barang kemas Nirav Modi, yang dikehendaki berhubung dakwaan penipuan ke atas bank, melarikan diri ke Britain bagi mencari suaka, menurut laporan pada Isnin. – Gambar AFP, 11 Jun, 2018.

JUTAWAN barang kemas Nirav Modi, yang dikehendaki berhubung dakwaan penipuan ke atas bank, melarikan diri ke Britain bagi mencari suaka, menurut laporan pada Isnin.

Modi, yang mempunyai pelanggan daripada golongan selebriti termasuk Naomi Watts dan Kate Winslet, dituduh terlibat dalam kes penipuan AS$1.8 bilion ke atas Bank Kebangsaan Punjab (PNB), bank kedua terbesar India.

Jutawan berusia 47 tahun itu dalam pelarian sejak skandal itu diketahui umum pada Februari, mengemparkan dunia korporat India.  

Akhbar The Financial Times memetik pegawai di India dan Britain sebagai berkata Modi menuntut suaka di Britian atas tuduhan yang disifatkannya sebagai “penganiayaan politik”.

Penyiasat India sedang menyiasat dakwaan Modi dan ayah saudaranya serta rakan perniagaan Mehul Choksi, yang juga peniaga barang kemas, menipu sejumlah AS$2 bilion (RM7.73 bilion) dari PNB dengan meningkatkan kadar pinjaman dari cawangan luar negara peminjam. – AFP, 11 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen