Polis serbu kediaman berkaitan Najib di Putrajaya


Muzliza Mustafa

POLIS membuat serbuan ke atas sebuah kediaman di Putrajaya dipercayai berkaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tiba di banglo dua tingkat di Presint 10, Putrajaya itu pada tengah hari.

Beberapa anggota polis dilihat meninggalkan kediaman tersebut pada kira-kira jam 2.20 petang dengan membawa sejumlah kotak dengan menaiki van.

Namun sebilangan yang lain masih berada di premis itu untuk membuat pemeriksaan.

The Malaysian Insight difahamkan kediaman tersebut merupakan kuarters bagi pegawai kanan kerajaan.

Menurut jiran berhampiran kediaman tersebut, penghuni terakhir adalah bekas setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh yang dilantik menjadi pengerusi Bank Rakyat pada Januari tahun lalu.

Banglo berkenaan bagaimanapun terbiar tanpa penghuni sejak setahun lalu.

Kawasan ruang tamu rumah berkenaan dilihat dipenuhi dengan kotak-kota besar yang diperiksa pasukan penyiasat.

Ketua Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Amar Singh Ishar Singh mengesahkan siasatan itu dijalankan pasukannya.

Operasi dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pasukan tersebut juga sebelum ini menjalankan serbuan ke atas beberapa premis dikaitkan Najib.

Operasi itu antara lain menghasilkan rampasan wang tunai RM114 juta dalam 26 matawang, yang disimpan dalam 35 beg.

Pasukan itu turut merampas sejumlah 284 beg tangan jenama mewah, serta 37 beg mengandungi barang kemas. – 11 Jun, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen