Saya tua, bukan nyanyuk, Dr Mahathir beritahu media Jepun


Julia Yeow

Saya masih mendengar dan menjawab soalan dan rakyat mahu saya memimpin negara sekali lagi, saya akan turutkan kehendak rakyat," kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2018.

DI mana-mana saja, baik di depan media asing atau orang kenamaan, Dr Mahathir Mohamad perlu menjawab soalan mengenai usianya dan bagaimana beliau boleh menggalas tugas sebagai perdana menteri ketika usia 92 tahun.

Begitu juga dengan dialog bersama media Jepun hari ini, tiada bezanya. Dr Mahathir masih perlu menjelaskan mengapa beliau mengambil keputusan menjadi semula perdana menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Ada dua jenis penuaan; satunya ialah kronologi, merujuk kepada berapa tahun yang anda telah capai. Satu lagi lebih kepada fizikal,” kata Dr Mahathir.

“Kadang-kadang, orang cepat tua, kadang-kadang orang lambat tua. Saya tua lambat sedikit berbanding kebanyakan orang.”

Dr Mahathir yang kini dalam lawatan tiga hari ke Jepun berkata beliau bersetuju untuk dilantik sebagai perdana menteri kerana merasakan masih lagi mampu dan layak untuk jawatan itu.

“Memandangkan saya masih lagi bertindak normal, tak nyanyuk, saya masih mendengar dan menjawab soalan dan rakyat mahu saya memimpin negara sekali lagi, saya akan turutkan kehendak rakyat,” kata perdana menteri ketujuh itu.

“Kalau boleh saya nak berehat. Tetapi saya mahu (juga) nasihatkan orang supaya jangan berehat apabila sudah tua kerana bila anda merehat, anda akan jadi lemah dan tak berupaya, kemudian nyanyuk,” kata Dr Mahathir.

Tambah perdana menteri, otak seperti juga anggota badan lain, akan menjadi lemah apabila tidak digunakan.

“Kalau anda tak gunakan otak anda, ia akan merosot dan anda akan nyanyuk. Jadi, teruskan aktif.”

Dr Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri menjadi pemimpin tertua di dunia selepas PH berjaya memenangi 121 kerusi parlimen dalam PRU14 sekali gus menubuhkan kerajaan.

Beliau sebelum ini menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Sebelum PRU14, Dr Mahathir tidak henti-henti diserang mengenai usianya oleh pengkritiknya dalam pentadbiran Najib Razak.

Ketika dalam kempen pilihan raya, Najib sentiasa berkata usia Dr Mahathir adalah faktor kelemahan PH. – 11 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen