Raja Abdullah II tiba di Jeddah untuk bincang krisis ekonomi Jordan


Raja Abdullah II datang atas jemputan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud. – Gambar AFP, 11 Jun, 2018.

RAJA Jordan Raja Abdullah II tiba di Jeddah pada Ahad untuk mengadakan perbincangan mengenai krisis ekonomi Jordan, lapor agensi berita Xinhua, memetik saluran berita Al Arabiya Arab Saudi.

Kedatangan pemimpin Jordan itu atas jemputan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Terdahulu pada Sabtu, pemerintah Arab Saudi mengundang pemimpin Jordan, Kuwait dan Abu Dhabi untuk bersidang di Mekah bagi berbincang krisis ekonomi yang melanda Jordan.

Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, dan Raja Saman bersetuju untuk menyertai perbincangan sebagai tanda sokongan ke atas usaha Jordan mengatasi kemelut ekonomi.

Jordan dibelenggu kontroversi susulan bantahan di seluruh negara selepas kerajaan mengumumkan rang undang-undang cukai, yang membawa kepada peletakan jawatan bekas perdana menteri Hani Mulki dan barisan kabinetnya.

Dalam satu kenyataan selepas berunding dengan Ahli Dewan Rakyat dan Negara, Perdana Menteri Jordan yang baharu dilantik, Omar Razzaz berkata rang undang-undang berkenaan perlu ditarik balik. 

Ketidakstabilan di sesetengah negara Arab telah membawa kepada kebangkitan faham kepuakan, faham pelampau dan kumpulan pengganas, termasuk militan Daesh. – Bernama, 11 Jun, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen