PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan muflis di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) walaupun hutang negara dibebani hutang yang sangat besar yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
“Jika kerajaan sebelum ini menang dalam pilihan raya, ada risiko akan muflis,” kata Dr Mahathir di hadapan wartawan asing di Jepun.
Menjawab pertanyaan bagaimana negara merancang untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM1 trilion, Dr Mahathir berkata gabungan pengalaman dan simpanan yang mencukupi dalam tabung negara, Malaysia akan berjaya dibawa keluar dari krisis ekonomi.
“Malaysia bernasib baik kerana mempunyai simpanan yang besar, contohnya kami ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ada wang yang banyak dan ada banyak institusi lain yang juga mempunyai wang yang banyak,” katanya.
“Kami ada banyak pengalaman menguruskan krisis kewangan. Seperti yang anda tahu pada 1997, kami mengalami krisis kewangan yang sangat teruk dan kami berjaya mengatasinnya.
“Kami merasakan yang kami tahu mengenai kewangan negara, yang akan mebolehkan kami pulih dan mengukuhkan semula kewangan kami seperti dulu.
“Saya tak fikir di bawah kerajaan ini (PH), negara akan muflis.” – 11 Jun, 2018.
Komen