Habis PRU14, tentera siber Umno hilang penghulu


Radzi Razak

Bukan lagi rahsia kehidupan tentera siber Umno yang didalangi pemimpin parti itu dipenuhi kemewahan, tetapi selepas PRU14 semuanya berubah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2018.

MEREKA pernah mendapat upah sehingga berpuluh ribu ringgit sebulan, malah sebilangannya dapat sampai berjuta ringgit untuk memfitnah Pakatan Harapan dan menonjolkan kehebatan Barisan Nasional.

Tetapi sejak 9 Mei yang lalu, durian runtuh itu sudah tidak turun lagi.

Tentera siber Umno kini kelihatan agak berkurangan manakala yang masih berbaki nampak kurang fokus berbanding sebelumnya, selepas tuan mereka hilang kuasa di Putrajaya dalam pilihan raya umum yang lalu.

The Malaysian Insight dimaklumkan beberapa blogger dan penulis portal pro Umno yang digelar sebagai tentera siber antaranya termasuk sebahagian lantikan politik di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dibubarkan kerajaan selepas PRU14 lalu.

Ada juga dalam kalangan penulis blog yang dibayar oleh ahli perniagaan yang ada kaitan langsung dengan Najib Razak dan pemimpin yang lain.

Selepas kekalahan Umno dan BN dalam PRU14, mereka kini tidak lagi “berpenghulu” dan sesetengahnya sudah mula berubah arah.

“Sekarang dah ada penyelaras yang tak muncul, tak ada lagi pengumuman daripada pusat sejak PRU lepas. Ada yang sudah berhijrah bertemu Pakatan Rakyat, ada yang memang kerja untuk kempen pilihan raya sahaja.

“Ada juga yang masih dibayar di bahagian atau cawangan serta dibayar oleh pemimpin besar tertentu,” katanya kepada The Malaysia Insight.

Biro Teknologi Maklumat Umno diterajui Ahmad Maslan. Tentera siber Umno-Barisan Nasional diketahui umum mempunyai dana yang banyak dan mampu menggaji sesiapa sahaja. Selepas kalah PRU14, nasib mereka yang digaji kini terumbang-ambing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2018.

Walaupun Umno tidak pernah mengaku membayar tentera siber ini, bukan rahsia lagi mereka ini mendapat upah yang lumayan.

Menurut seorang aktivis, mereka diselaraskan mengikut ketua masing-masing yang menerima agenda mengenai trend atau isu yang dianggap penting untuk ditangani daripada pimpinan tertinggi.

Bayaran mereka pula dikendalikan oleh sepasukan lain dan mereka dibayar mengikut kepakaran masing-masing seperti blogger, penulis portal atau tukang provokasi di media sosial, kata blogger Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah dalam satu wawancara dengan Sinar Harian.

“Cybertrooper Umno ada yang dapat puluhan ribu, ratus ribu, juta. Ada dapat RM3 juta untuk satu projek sehingga habis PRU,” katanya, yang mendakwa beliau dahulu menulis untuk Umno tetapi beralih kepada PH sejak 2014.

Menurut seorang bekas tentera siber yang membantu Umno pada PRU14 yang lalu, gerakan tersusun blogger dan askar papan kekunci untuk Umno dan BN ini bermula sejak 2012, di bawah biro teknologi maklumat parti itu serta unit media barunya.

Biro IT Umno Malaysia kini dipengerusikan oleh Ahmad Maslan sementara bahagian strategi BN diterajui Eric See-To sebagai antara pimpinan tinggi yang memantau peranan tentera siber di media sosial bagi menangkis serangan PH.

Unit Media Baru Umno sebelum ini dikendalikan oleh Tun Faisal Ismail Aziz, bekas ahli Panel Pemikir Jasa, yang juga dikatakan antara orang yang amat rapat dengan agenda tentera siber Umno dan BN.

Tugas mereka untuk menerangkan dasar-dasar BN, menjawab kritikan PH dan menyebarkan perang psikologi melalui Internet.

Biro IT Umno pernah menganjurkan konvensyen tentera sibernya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 November lalu dengan kehadiran lebih 3,500 blogger.

Untuk rekod, pimpinan Umno tidak pernah mengesahkan pembayaran mahupun adanya kerjasama terus dan rasmi antara pimpinan parti itu dengan beberapa blogger. – 11 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen