19 maut dalam kebakaran hutan di Portugal


Kebakaran berlaku di kawasan hutan di Pedrogao Grande, daerah Leiria, tengah Portugal semalam. – Gambar EPA, 18 Jun, 2017.

KEBAKARAN hutan di tengah Portugal semalam mengorbankan 19 orang manakala beberapa yang lain cedera ketika cuba melarikan diri daripada api marak dengan menaiki kereta, kata kerajaan.

“Disahkan 19 orang awam meninggal dunia. Tiga daripadanya kerana menghidu asap tebal dan 16 rentung di dalam kereta masing-masing apabila terperangkap dalam api di jalan dari Figueiro dos Vinhos menuju Castanheira de Pera,” kata setiausaha Kementerian Dalam Negeri Jorge Gomes kepada wartawan.

Gomes berkata 14 orang awam cedera, 10 daripadanya mengalami kecederaan teruk, bersama enam anggota bomba. Sementara dua lagi masih belum ditemui.

Kebakaran berlaku hampir jam 3 petang di kawasan Pedrogao Grande di daerah Leiria. Kira-kira 500 anggota bomba menaiki 160 kenderaan kemudian dikerah ke kawasan itu.

Katanya, kebakaran merebak dengan terlalu cepat ke empat arah.

Beberapa kampung berhampiran turut terjejas tetapi jumlah kerosakan masih belum dapat dipastikan.

Portugal dilanda panas terik yang teruk semalam, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius di beberapa wilayah. – AFP, 18 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen