HAKIM mengisytiharkan kes serangan seksual Bill Cosby sebagai perbicaraan silap dengan juri buntu sama ada pelakon komedi terkemuka itu memberikan dadah dan mencabul wanita pada 2004 atau tidak, sementara pendakwa berjanji untuk mendapatkan perbicaraan semula.
Ia perkembangan mengejutkan – dan kemenangan bagi penghibur kulit hitam pertama berusia 79 tahun itu yang berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan bersalah menyerang bekas kakitangan universiti Andrea Constand di rumahnya di Philadelphia, 13 tahun lalu.
Pendakwa raya berjanji untuk meneruskan sabitan, yang akan menyebabkan pelakon dikagumi ramai hingga digelar “Bapa Amerika” itu terpaksa kembali ke mahkamah dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Perbicaraan itu memusnahkan legasi Cosby, yang juga menjadi tokoh budaya paling popular di Amerika Syarikat (AS) kerana wataknya sebagai bapa penyayang dan doktor dalam siri TV terkenal “The Cosby Show”.
Dibebaskan dengan ikat jamin AS$1 juta, Cosby enggan memberikan sebarang komen sebelum meninggalkan mahkamah di Philadelphia, diiringi peguam dan pegawai publisitinya.
Kira-kira 60 wanita secara terbuka menuduh pelakon yang pernah memenangi anugerah Emmy itu, sebagai penyerang seksual, menuduh Cosby memberi mereka dadah dan melakukan serangan seksual selama 40 tahun di seluruh AS.
Tetapi hanya dakwaan Constand yang dijadikan kes jenayah terhada Cosby kerana kes lain berlaku terlalu lama dan sukar untuk didakwa.
Kes Constand pada awalnya diselesaikan menerusi tuntutan sivil tetapi dibuka semula pada 2015 apabila pendakwa Pennsylvania berkata bukti baharu ditemui.
“Kami akan membicarakan kes itu semula,” kata Peguam Daerah Montgomery Kevin Steele. – AFP, 18 Jun, 2017.
Komen