Sementara dakwat di jari masih ada


HARI ini, genap sebulan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Dakwat di jari belum pudar pun lagi.

Saya akui awal-awal, saya mengundi Pakatan Harapan. Tetapi bukanlah sebenarnya yang saya harapkan Pakatan menang, bukan juga harapkan Barisan Nasional kalah. Yang saya hasratkan lebih penting daripada kemenangan mana-mana pihak.

Yang saya hasratkan adalah perubahan budaya pemikiran Malaysia, dan itu lebih penting daripada kemenangan mana-mana pihak.

Kalau sebelum ini, pegawai kerajaan seolah-olah dituntut untuk mengundi semula kerajaan Barisan yang telah sekian lamanya memerintah. Seolah-olah peraturan tidak mengizinkan kami menyokong selainnya, sedangkan yang dilarang hanyalah menunjukkan berpihak kepada mana-mana parti bagi pegawai seperti saya dan terutamanya guru-guru sekolah.

Tapi tahu sajalah, peraturan hanya terpakai kepada mereka yang tidak sokong Barisan; sesiapa yang menyokong selain daripadanya akan dipandang serong sebagai pemuja DAP.

Dan itulah yang akhirnya memberi tujah utama kepada saya bahawa pemerintah perlu ditukar: agar keadilan dan kebebasan pilihan tertegak, agar rakyat menjadi cerdik membezakan antara kerajaan dan parti pemerintah, agar kenderaan yang bernama “masyarakat Malaysia” melalui suatu overhaul yang telah lama ditunda.

Bukanlah saya buta sehingga menafikan ketirisan wang dan skandal besar 1MDB yang “mengharumkan” nama Malaysia di seantero dunia. Sudah tentu, itu juga menjadi asbab mengundi selain Barisan (dan juga selain dari pihak yang hanya menjaja diri sebagai kingmaker tapi itu pun tak tercapai). Namun, perbincangan dengan sahabat handai yang arif dalam bab ekonomi banyak yang menunjukkan bahawa dasar-dasar ekonomi BN sebenarnya bermanfaat.

Saya tahu, bekas perdana menteri sebenarnya seorang yang bijak dan berpelajaran tinggi. Kefasihan Bahasa Inggerisnya bila berurusan dengan pihak luar negara juga saya puji.

Tetapi apakan daya, terlalu banyak tindakan beliau dan kabinet beliau yang boleh dipersoal. Mereka pun seperti terjahit mulut tentang 1MDB, atau dilucut saja jawatan. Pasangan beliau yang tidak kurang terkenal itu juga tidak membantu imej beliau.
 
Mungkin saja, jika beliau mengurangkan ketirisan dan budaya rasuah, saya akan undi Barisan. Mungkin saja. Kerana kerap kali saya dengar bahawa yang bermasalah bukanlah sistem, tetapi pelaksanaannya.

Walaupun saya merasakan satu kelegaan yang jarang sekali dirasakan pada pagi 10 Mei 2018, saya sebenarnya bukanlah peminat tegar Pakatan pun, kerana politik adalah akhafu dhororoin, atau lesser of two evils, atau memilih yang kurang mudarat. 

Perkara pertama yang saya fikirkan setelah PRU adalah agar semua pihak diberi kebebasan memilih. Jika suasana kini berubah kepada penyokong Barisan dan PAS pula yang perlu menyorokkan sokongan, maka 2×5 sahaja Pakatan!

Tapi alhamdulillah, setakat sebulan yang berlalu, perjumpaan Parti Keadilan Rakyat di kediaman rasmi timbalan perdana menteri pun dibantah. Peruntukan wang yang kurang kepada ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang pun dibantah. Syabas rakyat! 

Inilah yang kita harapkan, jika kita benar ingin melihat Malaysia Baharu – supaya yang menang akhirnya rakyat, tanpa mengira undi mereka.

Media juga diberi kebebasan menjemput sesiapa yang dimahunya. Bahkan Presiden PAS juga dijemput, walaupun mantiknya tidak tergarap orang yang belum mendaftar sebagai ahli syurga. Tapi tak mengapa! Ini budaya sihat dan saya menunggu pula pemimpin Barisan ke udara.

Seperti yang disebut, yang diharapkan adalah perubahan budaya pemikiran, dan lebih pentingnya di sini adalah pemikiran sivik yang merupakan teras pembangunan masyarakat. Perubahan pemimpin-pemimpin kerajaan saya harapkan akan menatijahkan perubahan sama ada melalui dasar mahupun teladan. Agar adil dalam menilai satu-satu isu, agar mengikis najis rasisme, agar tidak lagi mengajar anak-anak kita membuang sampah ke luar tingkap kereta. 

Saya tahu – mungkin nampak mengarut kaitan antara kertas undi saya dengan buang kotak minuman ke jalan raya, tetapi entah mengapa, saya rasakan bahawa air yang terlalu lama bertakung akhirnya akan karat dan hanya mengotorkan muka si pengambil wuduk. Pepatah mengatakan ikan busuk dari kepala, bermakna sikap pemimpin akan turun kepada rakyatnya.

Terima kasih rakyat. Terima kasih kepada yang mengundi untuk perubahan – Melayu, Cina, India, Dusun, Kadazan, Penan, Bajau, dan yang lain-lain. Mungkin niat kalian berbeza dengan saya, tetapi destinasinya sama, dan hasilnya sama. Kalian telah menjelmakan kekeramatan suara rakyat dan terus mengingatkan kerajaan tentang kebenaran ini.

Dakwat pada jari ini akan lesap tak lama lagi, dan saya harapkan dengannya budaya politik lama “pemerintah boleh buat apa sahaja”. Moga-moga rakyat kenal benar erti keadilan.

Terima kasih Malaysia! – 10 Jun, 2018

* Daniel Iqram, pegawai perubatan yang berkhidmat dengan kerajaan yang kini diterajui Pakatan Harapan.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen