TOKOH politik Indonesia, Amien Rais mahu bertanding kerusi presiden Indonesia tahun depan dengan mengambil ilham daripada kejayaan Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum Malaysia ke-14 membuat kemunculan semula dalam politik, lapor media di republik itu.
Kata Amien, kalau Dr Mahathir yang sudah berumur 92 tahun boleh kembali berpolitik, beliau yang 20 tahun lebih muda terasa “masih remaja” kalau dibandingkan dengan perdana menteri itu.
“Kalau Mbah Amien Rais ini kan, walaupun tua, ya tidak apa-apa. Begitu Mahathir. Jadi, saya jadi remaja lagi sekarang kan ya, jadi saya terimakasih Pak Mahathir,” katanya, seperti dipetik CNN Indonesia.
“Jadi saya pun sedikit agak layak, ya (bertanding),” tambahnya.
Amien, 74, mengaku pada usianya itu beliau mungkin “sudah agak kuno” tetapi dengan kejayaan Dr Mahathir memimpin perubahan politik di Malaysia, “semacam ada perubahan visi orang Asia Tenggara” tentang soal umur pemimpin, katanya.
Amien kini memegang jawatan Ketua Dewan Kehormatan Partai Amanat Nasional (PAN), parti yang beliau asaskan semasa era Reformasi menjatuhkan Suharto dua dekad lalu.
Beliau pada suatu ketika pernah dianggap watak penting Reformasi tetapi kini dituduh “pengkhianat Reformasi” kerana sikapnya yang berdolak-dalik terhadap idea perubahan dan demokrasi.
Selepas dilihat berundur dari politik sejak beberapa tahun lepas, Amien sejak kebelakangan ini kerap muncul mengkritik Joko Widodo, yang mengintai penggal kedua sebagai presiden pada pemilihan tahun depan.
Setiausaha Agung PAN, Eddy Soeparno turut mengesahkan kepada CNN Indonesia Amien adalah antara calon presiden yang akan dimajukan oleh parti itu.
“Kemenangan Mahathir tersebut membuktikan bahawa usia hanyalah angka. Usia senja bukanlah penghalang dan saya kira beliau (Amien Rais) sudah terbuka mengatakan demikian,” katanya dipetik CNNIndonesia.com.
Selain Amien, ada tiga nama lain yang dicadangkan oleh PAN iaitu dua bekas ketua umumnya, Soetrisno Bachir dan Hatta Rajasa, serta ketua umumnya sekarang, Zulkifli Hasan.
Calon yang sah akan ditentukan oleh mesyuarat agung parti tidak lama lagi.– 10 Jun, 2018
Komen