JANJI peruntukan mencecah hampir AS$3 bilion (RM12 bilion) untuk membantu wanita dan gadis tidak berkemampuan termasuk pelarian mendapatkan pendidikan diumumkan pada Sidang Kemuncak G7 semalam.
Perdana Menteri Justin Trudeau yang menjadi tuan rumah rakan sejawatnya di Quebec menggelarkannya “pelaburan tunggal terbesar dalam pendidikan untuk wanita dan gadis dalam krisis dan konflik”.
Kanada akan menyumbang AS$300 juta daripada jumlah keseluruhan.
Jumlah yang dijanjikan itu lebih banyak daripada yang diminta kumpulan feminis yang ditemui Trudeau dalam majlis sampingan sidang kemuncak itu, menyebabkan G7 dipuji pergerakan masyarakat sivil dan aktivis termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan Malala Yousafzai yang mengatakan ia akan “memberi lebih banyak gadis harapan yang mereka boleh membina masa hadapan sendiri yang lebih cerah”.
Dana itu memberikan “wanita muda di negara membangun peluang untuk mengejar kerjaya mereka berbanding berkahwin awal dan menjadi buruh kanak-kanak,” tulis Malala di Twitternya.
Julia Sanchez dari Majlis Kerjasama Antarabangsa Kanada menyifatkannya sebagai “keputusan yang sangat dialu-alukan, terutama sekali ketika ketegangan politik mendominasi sidang kemuncak itu”.
Dana itu- yang diberikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun- akan digunakan untuk melatih guru dan menambah baik kurikulum, mewujudkan data pendidikan, menyokong kaedah inovatif pengajaran, dan meningkatkan kadar pendidikan wanita dan gadis di negara membangun.
Kenyataan penutup Sidang Kemuncak G7 semalam turut menyertakan janji mengatasi pencemaran laut dengan mengurangkan penggunaan plastic walaupun Amerika Syarikat dan Jepun tidak meletakkan nama mereka dalam tempoh masa rancangan.
Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada taklimat media mengatakan matlamatnya adalah untuk melakukan kitar semula plastik 100% menjelang 2030, dan membantu pembangunan kaedah lebih mesra alam pembungkusan plastik.
Merkel mengatakan Washington tidak mahu memberikan komitmen kepada sasaran. Jepun pula tidak menjelaskan pendirian mereka lagi.
Komitment empat negara G7- Itali, Perancis, Britain dan Jerman- selari dengan dasar Kesatuan Eropah yang mahu mengharamkan penggunaan plastik sekali guna dan mengitar semula 90% botol plastik menjelang 2025. – AFP, 10 Jun, 2018.
Komen