Trump tuduh Trudeau ‘tak jujur dan lemah’


Presiden AS Donald Trump menuduh Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau tidak jujur dan lemah dalam kemelut perdagangan antara negara maju selepas Sidang Kemuncak G7. – Gambar AFP, 10 Jun, 2018.

PRESIDEN AS Donald Trump menarik kembali sokongan ke atas kenyataan bersama pada akhir Sidang Kemuncak G7 di Kanada pada Sabtu berkaitan kemelut perdagangan, menuduh pengerusi sidang, Justin Trudeau tidak jujur.

“Berdasarkan kenyataan Justin yang salah pada sidang medianya, dan fakta yang Kanada mengenakan tarif besar ke atas petani, pekerja dan syarikat AS, saya mengarahkan perwakilan AS untuk tidak menyokong kenyataan itu,” kata Trump menerusi akau  Twitternya yang dihantar ketika beliau menaiki pesawat Air Force One.

Trump yang dalam perjalanan ke Singapura untuk pertemuan dengan pemimpin Korea Utara juga mengulangi amaran yang pentadbirannya sedang mengkaji tarif “ke atas automobil yang membanjiri pasaran AS”, tindakan yang dianggap disasarkan kepada satu lagi ahli G7, Jerman.

Presiden AS itu kemudian mengatakan Trudeau “bersikap rendah diri dan santun” dalam perbincangan bersama mereka tetapi kemudiannya mengatakan tidak akan membiarkan dirinya dipermainkan pada kenyataan media selepas itu.

“Sangat tidak jujur dan lemah,” kata Trump, menambah yang tarif terbaru AS ke atas besi dan aluminium import dari Kanada adalah tindakan serupa yang dikenakan oleh Kanada ke atas barangan berasaskan susu dari Amerika. – AFP, 10 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen