KHAMIS lalu, Perdana Menteri Sepanyol baru dilantik, Pedro Sanchez mengumumkan Kabinetnya, 11 wanita dan enam lelaki.
Dalam Kabinetnya, wanita memegang jawatan utama seperti timbalan perdana menteri, menteri ekonomi dan menteri undang-undang. Sekali imbas, ini juga berlaku dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad.
Tetapi apabila beliau menyempurnakan senarai menterinya yang dijangka paling awal diumumkan minggu ini, satu nama masih lagi hilang. Nama itu ialah Nurul Izzah Anwar.
Sekali lagi, The Malaysian Insight difahamkan ketiadaan Nurul Izzah dalam kerajaan Malaysia bukanlah kerana tiada ajakan dan usaha perdana menteri Malaysia berumur 92 tahun itu.
Beliau dua kali menawarkan jawatan menteri kepada naib presiden PKR dan pengarah pilihan raya parti itu. Pertama, waktu mula-mula mengumumkan senarai pertama menteri. Dan sekali lagi membuat tawaran untuk senarai kedua menteri yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Tetapi, nampaknya PKR dan kepimpinan parti di bawah ayahnya yang juga Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim percaya Nurul Izzah tidak wajar dinamakan atas alasan yang hanya mereka tahu. Boleh jadi tidak mahu nepotisme berlaku kerana ibunya ialah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail? Atau disebabkan Anwar akan jadi perdana menteri seterusnya?
Kita boleh faham yang seorang anak tidak akan menentang hasrat ayahnya, atau seorang ahli parti tak akan melawan arahan kepimpinan teratas parti.
Tetapi kita sedang bercakap tentang seorang wanita dewasa, ibu kepada dua anak dan politikus yang sejak usia remajanya sudah belajar selok belok politik apabila menemani ibunya menerajui parti yang menuntut keadilan untuk ayahnya yang dipenjara kerana tuduhan liwat dan salah guna kuasa.
Kita sedang bercakap tentang politikus yang menjadi pengarah pilihan raya partinya yang paling berjaya apabila PKR menang 47 kerusi, bersama-sama sekutu rapat termasuklah parti yang dipimpin Dr Mahathir.
Dapatkah anda bayangkan pengalaman yang dimiliki dan apa yang beliau belajar sejak 20 tahun lepas?
Dapatkah anda bayangkan apakah yang beliau boleh tawarkan kepada pentadbiran Dr Mahathir?
Dapatkah anda bayangkan ruang dan peluang untuknya belajar daripada ahli politik veteran yang lain dalam pentadbiran sebelum Anwar junjung kuasa?
Dr Mahathir telah menamakan mereka yang berpengalaman dan juga muka baharu dalam Kabinetnya yang bermatlamat mahu menyelamat dan membaiki sebuah negara yang beliau percaya di ambang kehancuran. Beliau perlukan ahli pasukan yang berkongsi kepercayaan dan etika kerja yang sama.
Kehadiran Nurul Izzah dalam pasukannya akan memberi banyak kelebihan. PKR perlu sedar yang jawatan bukan ganjaran, tetapi pengiktirafan bahawasanya mereka mempunyai pemimpin yang sanggup bekerja keras demi masa depan negara.
Mengetepikan Nurul Izzah sekarang dan juga mungkin untuk selama-lamanya adalah tindakan merugikan Malaysia, yang ketika ini sangat perlukan pemimpin terbaik untuk kerja keras membina kembali negara yang sedang berlangsung.
Anwar dan PKR perlu memikirkan perihal Nurul Izzah sedalam-dalamnya. Mereka menang undi dan jiwa Malaysia pada 9 Mei. Sekarang masanya bekerja untuk negara dan menyerahkan pemimpin terbaik yang mereka miliki untuk tanggungjawab besar itu. – 10 Jun, 2018.
Komen