SEKURANG-KURANGNYA 17 askar Afghanistan terbunuh ketika pejuang Taliban menyerbu pangkalan tentera di barat Afghanistan, beberapa jam sebelum kumpulan itu mengumumkan gencatan senjata, kata para pegawai pada Sabtu.
Taliban mendakwa serangan malam Jumaat itu, yang diberitahu jurucakap gabenor wilayah Herat, Jilani Farhad kepada AFP mengorbankan 17 anggota pasukan keselamatan Afghanistan dan mencederakan anggota lain.
Terdapat anggota Taliban yang maut di kawasan serangan Zawol, kata Farhad, tetapi tidak dapat memberikan angka yang tepat.
Gabenor Daerah Zawol, Mohammad Saeed Sarwari mengesahkan serangan dan angka kematian itu.
“Taliban merampas senjata susulan serangan itu,” kata Sarwari kepada AFP.
Dalam mesej WhatsApp, Taliban mengatakan angka kematian seramai 18 orang askar Afghanistan.
Serangan itu berlaku beberapa jam sebelum Taliban mengumumkan gencatan senjata yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan pasukan keselamatan Afghanistan bagi tiga hari pertama Aidilfitri.
Tindakan yang tidak dijangka itu berlaku dua hari selepas pengumuman mengejutkan kerajaan Afghanistan mengenai hentian sementara sebelah pihak bagi operasi terhadap Taliban.
Ia akan berlangsung dari “27 Ramadan hingga hari kelima Aidilfitri”, ciapan Presiden Ashraf Ghani dalam akaun rasminya, mengatakan gencatan senjata mungkin berlangsung dari 12 hingga 19 Jun. – AFP, 9 Jun, 2018.
Komen