Bersatu kembalikan hak rakyat Palestin


 Negara Israel dibentuk adalah hasil daripada keganasan, pembunuhan dan pengusiran rakyat pribumi di Palestin. Pasukan pengganas Israel bernama “Haganah” adalah terdiri daripada veteran perang Yahudi yang terlibat dalam Perang Dunia Pertama dan Ke-2 yang sangat berpengalaman dalam selok-belok perang sama ada terbuka mahupun gerila. 

Mereka inilah menjalankan tugas mengikut protokol zionis dengan pergi ke Palestin pada 1930-an dan memulakan serangan merampas kampung, membakar rumah dan menghalau keluar penduduk di Haifa, Nablus, Tel Aviv dan kawasan sekitarnya. Mereka akhirnya menguasai kawasan ini dan penduduk Palestin terpaksa melarikan diri ke Syria, Mesir, Lubnan dan negara Eropah. 

Melalui gerakan keganasan ini akhirnya mereka berjaya menguasai sebidang tanah yang luas dan di atas pertolongan Amerika dan negara Eropah, akhirnya sempadan dibuat untuk membentuk negara Israel. 

Tahun 1947 Israel dibentuk dengan sokongan negara Eropah dan kemudian diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1948.

Usaha untuk mengembalikan penduduk Palestin ke tanah air mereka perlu dibantu dan diteruskan. Marilah sama-sama, tanpa mengira kaum dan agama, kita bersatu menyokong tuntutan rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka seperti ketetapan yang diluluskan PBB.

Marilah kita turun ke himpunan pada Jumaat, 23 Jun ini dengan berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat dan bergerak ke bangunan Kedutaan Amerika untuk menyatakan bantahan kepada negara itu yang terus melindungi zionis Israel.

Suara bantuan kepada rakyat Palestin perlu lebih kuat kerana Israel semakin melebarkan pengaruh dan fahaman zionis mereka dan semakin memperluaskan wilayah dengan merampas tanah Palestin untuk menjadikan kawasan Israel lebih besar. – 17 Jun, 2017.

* Mohamad Sabu adalah presiden Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen