ANWAR Ibrahim hari ini mengumumkan menarik diri sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) ketika pakatan pembangkang itu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang..
Pengumuman mengejut itu keluar di saat PH berdepan pertikaian barisan kepimpinan yang akan mengetuai gabungan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
“Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon perdana menterii,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata PH kini perlu memberi fokus kepada pilihan raya umum akan datang dan semua isu sampingan lain seperti muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau keterlanjuran kata kurang sopan perlu dihentikan.
Anwar juga berkata tradisi rundingan dan membuat keputusan secara konsensus dalam Pakatan Rakyat perlu dikekalkan dalam PH, dengan pemimpin daripada parti berasingan mempunyai kedudukan setaraf sementara fungsi pengerusi dilantik sebagai penyelaras.
Bekas timbalan perdana menteri berkata penyertaan yang sama daripada semua pemimpin parti komponen diperlukan jika PH ingin menyatukan kekuatan untuk mengalahkan BN.
“Ini termasuk memanfaatkan kedudukan dan peranan Dr Mahathir. Agak kurang bijak untuk membuat sebarang andaian sebelum semua pimpinan parti menyatakan sikap dan usul tersebut dimuktamadkan,” kata Anwar.
Beliau juga memuji keputusan Pakatan Harapan untuk berpegang kepada model keputusan konsensus dan bukannya cadangan Bersatu agar membenarkan pemimpinnya mengambil kedudukan pengerusi dan presiden sebagaimana struktur BN.
Parti komponen PH berbalah mengenai barisan kepimpinan gabungan itu bagi persediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-14, menyebabkan kelewatan ia didaftarkan secara rasmi.
Bersatu juga di ambang meninggalkan gabungan itu kerana kegagalan membuat keputusan, dengan desakan PKR agar Anwar dinamakan sebagai perdana menteri menjadi isu utama.
Untuk memecahkan kebuntuan, sumber memberitahu kepada The Malaysian Insight yang Anwar menangguhkan keputusan muktamad mengenai barisan kepimpinan kepada biro politik PKR, tetapi parti menafikan laporan itu. – 17 Jun, 2017.
Komen