Sempena Aidilfitri, Taliban setuju gencatan senjata 3 hari


Taliban bersetuju melakukan gencatan senjata selama tiga hari sempena Aidilfitri, yang pertama sejak 2001. – Gambar AFP, 9 Jun, 2018.

TALIBAN mengumumkan hari ini yang mereka akan melakukan gencatan senjata selama tiga hari dengan pasukan keselamatan Afghanistan sempena Aidilfitri, walaupun operasi terhadap “penjajah asing” akan diteruskan.

Tetapi kumpulan itu memberi amaran yang anggota mereka akan “melawan habis-habisan” jika diserang dalam satu kenyataan dihantar kepada media selepas dua hari kerajaan Afghanistan mengumumkan gencatan senjata seminggu.

“Semua mujahidin diarahkan menghentikan serangan terhadap pasukan keselamatan Afghanistan untuk tiga hari pertama Aidilfitri,” kata Taliban dalam mesej kepada media dihantar menerusi WhatsApp.

“Tetapi jika mujahidin diserang kami akan melawan habis-habisan.”

Taliban menambah yang “penjajah asing terkecuali” daripada arahan itu.

“Operasi kami akan diteruskan menentang mereka, kami akan terus menyerang mereka jika terserempak,” katanya.

Ini adalah pertama kali Taliban bersetuju melakukan gencatan senjata sejak pencerobohan AS pada 2001.

Pengumuman itu berlaku selepas Presiden Ashraf Ghani pada Khamis lalu mengumumkan gencatan senjata dengan Taliban selama seminggu.

Ia akan bermula “daripada 27 Ramadan sehingga hari kelima Aidilfitri”, umum Ghani menerusi Twitter, iaitu bermula pada 12 hingga 19 Jun. – AFP, 9 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen