Suara hati ahli akademik yang kini bebas selepas berdekad dirantai


SEBULAN telah berlalu, antara pengumuman yang paling menggembirakan hati saya sejak peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) adalah apabila Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menggesa universiti awam menjadi ruang intelektual di mana aktiviti seperti forum dan debat bebas dianjurkan.

Maszlee menyeru agar tampuk pengurusan di universiti awam tidak lagi menghalang sebarang aktiviti yang bersifat bernas untuk dijalankan di kampus dan universiti haruslah dijadikan sebagai tempat awam untuk semua rakyat Malaysia.  

Saya menyahut saranan ini dengan hati terbuka kerana bagi saya, universiti awam adalah aset seluruh rakyat Malaysia dan ia harus dimanfaatkan secara sepenuhnya oleh kita semua. 

Pendidikan yang bersifat terbuka dan membenarkan kita berfikir secara berdikari tanpa disekat dan peluang untuk berdebat secara bebas amat diperlukan untuk membentuk sebuah negara maju. 

Setelah bekerja di sektor korporat untuk beberapa tahun, saya beralih ke bidang hak asasi manusia dan di sanalah bermulanya minat saya dalam bidang advokasi khususnya menerusi penulisan. 

Penulisan bagi saya adalah satu alat yang mempunyai kuasa istimewanya tersendiri kerana dapat mempengaruhi sesiapa yang membaca.

Saya masih dikirakan setahun jagung dalam bidang penulisan, dan hanya mulai giat menulis di sekitar tahun 2010 walaupun adanya percubaan sewaktu masih berada di bangku sekokah.

Di awal-awal penulisan saya sebelum berkecimpung di bidang akademik, tidak pernah terlintas di minda apa yang patut ditulis dan apa yang tidak patut ditulis. 

Waktu itu, saya hanya mengerti untuk menulis menurut apa yang saya baca dan apa yang saya fikir, tanpa sebarang tapisan kerana saya percaya apa yang benar harus ditulis dan disampaikan dengan harapan masyarakat mendapat manfaat dan inspirasi daripada penulisan saya.

Namun, setelah menjadi kakitangan di sebuah universiti awam sekitar tahun 2011 selepas hampir setahun giat menulis, saya mulai rasa tekanan yang ada dalam penulisan saya dan juga dalam sebarang temubual atau program awam yang saya sertai.

Waktu itu, rasa kecewa mulai melanda saya dan bingung kerana persoalannya, mengapa seorang ahli akademik tidak dibenarkan untuk bebas bersuara dalam menyampaikan pendapat dengan tujuan mendidik masyarakat sekiranya suara itu tidak selari dengan dasar kerajaan?

Sesiapa yang berani menentang akan terima padahnya atau disekat dalam pelbagai bentuk.

Meskipun ada pihak yang masih bersikap sinis dengan perubahan yang berlaku sejak 9 Mei yang lalu, namun apa yang tidak dapat dinafikan adalah perubahan positif sudah banyak berlaku. 

Perubahan paling ketara yang saya rasai dan mungkin ramai juga merasa sedemikian ialah kebebasan, iaitu kebebasan bersuara tanpa rasa takut. 

Sememangnya kita tidak harus leka dengan kebebasan baharu yang kita rasai sekarang setelah berdekad disekat dari segi hak kita untuk bersuara dan mengkritik. 

Apa yang kita sangat perlukan sekarang adalah reformasi kita, dengan sikap yang lebih terbuka dalam menyambut perubahan yang telah berlaku dan menerima kebebasan ini dengan cara positif.  

Perubahan dalam kalangan ahli akademik harus berlaku di setiap lapisan di universiti, dari peringkat pengurusan sehingga ke golongan akademik. 

Perubahan ini bukan sahaja terhad dari segi hak bersuara secara bebas tetapi amat diperlukan untuk kita cipta naratif baharu pandangan masyarakat bahawa golongan akademik bukan hanya mengajar di universiti tapi mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar lagi, iaitu menyumbang kepada masyarakat.

Gesaan Maszlee agar tidak lagi penghalang diletakkan di pintu-pintu masuk universiti awam adalah permulaan untuk masyarakat kita turut ambil serta dalam sebarang aktiviti yang berlaku di dalam universiti awam demi manfaat semua.

Peranan sebagai seorang ahli akademik yang lantang bersuara bukan satu pilihan tapi satu kewajiban yang harus ada. 

Golongan akademik harus diberi kebebasan dalam menjalankan kajian dan dibenarkan untuk menyertai sebarang program atau aktiviti yang boleh membawakan manfaat kepada masyarakat sepenuhnya.

Budaya kawalan minda dengan gertakan yang tidak sihat seperti yang diamalkan dahulu harus dibuang agar ahli akademik yang merupakan tunggak harapan negara untuk membentuk generasi muda kita ini dapat bersama-sama menggembleng tenaga dengan kerajaan baharu untuk menyumbangkan ilmu demi Malaysia Baharu ini. – 9 Jun, 2018.

*Dr Khoo Ying Hooi adalah pensyarah di salah sebuah universiti awam tempatan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen