REPUTASI Singapura dengan undang-undang dan peraturan ketat dilihat sebagai faktor utama ia dipilih menjadi hos sidang kemuncak Amerika Syarikat-Korea Utara Selasa ini.
Sehubungan itu, republik berkenaan berazam tidak mahu mengecewakan mana-mana pihak.
Polis termasuk unit elit Gurkha Nepal, membanjiri jalan raya dan melaksanakan penutupan maya bahagian utama bandar raya itu, menyekat jalan raya ke kawasan pertemuan bersejarah antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
Dalam usaha menghalang lebih awal sebarang bantahan mengganggu, larangan membawa suar, sepanduk dan pembesar suara dikenakan di kawasan berhampiran lokasi pertemuan itu.
Halangan konkrit akan dipasang pada lokasi utama dan halangan besi mekanikal yang muncul dari tanah dengan cuma menyentuh butang berkemungkinan wujud di beberapa jalan raya.
Penempatan polis bagi mesyuarat ditunggu-tunggu itu dijangka yang terbesar sejak 2006 apabila kira-kira 23,000 pegawai ditempatkan untuk pertemuan Tabung Mata Wang Dunia (IMF) dan Bank Dunia di republik berkenaan.
Rakyat Singapura sudah biasa, dan menerima langkah keselamatan ketat dan kelibat pegawai berpakaian seragam meronda dan tentera bersenjata di lapangan terbang adalah biasa.
Kerajaan sudah lama menegaskan kepada rakyat bahawa kawalan keselamatan ketat penting kerana hab kewangan itu menjadi sasaran utama serangan pengganas.
Namun langkah melampau jarang dilaksanakan dan boleh mengganggu kehidupan harian 5.6 juta penduduk negara itu.
Guru muzik, Janice Tan, 28, berkata keadaan amat tidak selesa apabila berlakunya kawalan keselamatan, terutama penutupan jalan raya.
“Saya ambil berat mengenai keamanan dunia tetapi lebih suka mereka mengadakan pertemuan di tempat lain,” katanya. – AFP, 9 Jun, 2018.
Komen